PENGIRAAN kadar siling hutang negara mengambil kira Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) serta Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).
PENGIRAAN kadar siling hutang negara mengambil kira Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) serta Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kadar hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion tidak akan menjejaskan penarafan kredit negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Firdaos Rosli berkata, pengiraan kadar siling hutang negara mengambil kira tiga aspek iaitu Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) serta Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) yang semakin menurun.

Katanya, siling hutang negara masih berada pada paras 65 peratus berbanding hutang berkanun kini pada tahap 60 peratus.

"Kita tidak boleh buat penilaian RM1.5 trilion (hutang negara) itu dengan kadar siling kerana ia dua perkara yang berbeza. Siling hutang kita berpandu tiga perkara itu yang dibahagikan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

"Kita masih ada ruang, tak boleh tengok hutang awam, bukan itu cara kita takrifkan kadar siling hutang kita.

"Jadi, kalau KDNK nominal meningkat 11.3 peratus atau RM1.7 trilion tahun lalu bermaksud hutang berkanun negara mungkin sedikit menguncup.

"Bagi saya jika daripada kiraan ia tidak akan memberi kesan kepada penarafan kita," katanya pada sesi pembentangan unjuran ekonomi 2023 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, berhubung hutang negara termasuk liabiliti mencecah RM1.5 trilion.

Selain itu katanya, penilaian juga bukan hanya berdasarkan kepada Malaysia , malah turut melihat hutang berkanun negara lain.

"Kalau sebab Covid-19, hutang semua negara lain naik, kita tidak akan terjejas.

"Tetapi jika negara sama seperti kita contohnya Malta dan Botswana menyaksikan kadar pertumbuhan yang lebih baik, jadi mungkin mata kita akan jatuh sedikit," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, masih terlalu awal jika kerajaan baharu mahu memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tahun ini.

"Tapi penting memperkenalkan GST semula walaupun terdapat kekurangan.

"Apa yang penting adalah membuat sistemnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 8:00 AM