ETP menyasarkan 50 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020 berjaya dilahirkan pelbagai institusi teknikal. - Gambar Google.
ETP menyasarkan 50 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020 berjaya dilahirkan pelbagai institusi teknikal. - Gambar Google.
KAEDAH pembelajaran di setiap institusi adalah berbeza mengikut sektor pengajian namun yang penting adalah memenuhi penanda aras ditetapkan. - Gambar hiasan.
KAEDAH pembelajaran di setiap institusi adalah berbeza mengikut sektor pengajian namun yang penting adalah memenuhi penanda aras ditetapkan. - Gambar hiasan.
PASARAN luas ditawarkan industri menjadi antara kelebihan graduan teknikal untuk memasuki alam pekerjaan. - Gambar hiasan.
PASARAN luas ditawarkan industri menjadi antara kelebihan graduan teknikal untuk memasuki alam pekerjaan. - Gambar hiasan.
DARI semasa ke semasa, kualiti pelajar juga sentiasa dipertingkatkan bagi memenuhi piawaian ditetapkan. - Gambar hiasan.
DARI semasa ke semasa, kualiti pelajar juga sentiasa dipertingkatkan bagi memenuhi piawaian ditetapkan. - Gambar hiasan.
GRADUAN aliran teknikal membentuk pengalaman melalui pembelajaran praktikal sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk memasuki kerjaya pilihan. - Gambar Google.
GRADUAN aliran teknikal membentuk pengalaman melalui pembelajaran praktikal sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk memasuki kerjaya pilihan. - Gambar Google.
Oleh Ruhaiza Rusmin


Negara maju sudah lama mengutamakan bidang teknikal malah pengkhususan yang ditawarkan jadi keutamaan.

Contohnya, bagaimana Jerman menjadi peneraju teknologi terkini khasnya dalam bidang automotif, kejuruteraan berat dan ketenteraan sejak memulakan program berbentuk teknikal 100 tahun lalu.

Secara amnya, Malaysia mula mengorak langkah melakukan pelbagai persediaan bagi bergelar negara maju menjelang 2020.

Pelbagai perubahan dilakukan dalam sektor utama termasuk transisi sistem pendidikan yang kini lebih memberi fokus kepada jurusan berbentuk kemahiran teknikal.

Dulu, jurusan berbentuk teknikal di negara ini lebih menjurus kepada sekolah vokasional, kolej komuniti atau politeknik semata-mata, kini negara boleh berbangga dengan empat universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.

Namun, masih ada pihak kurang yakin terhadap lepasan graduan teknikal dengan menganggap mereka gagal menandingi permintaan graduan berasaskan jurusan akademik.

Dengan menganggap graduan jurusan akademik masih lagi mendominasi pasaran industri, graduan teknikal pula sebaliknya.

Sejauh mana kebenarannya?

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMP, Profesor Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, sebagai sebuah negara membangun, graduan teknikal amat diperlukan bagi merebut pelbagai peluang pekerjaan.

Beliau berkata, tidak timbul isu graduan teknikal sukar memperoleh pekerjaan seperti mana digembar-gemburkan pihak tertentu kerana salah satu teras misi nasional ialah meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara.

“Di mana-mana sekali pun, bidang teknikal antara penyumbang pembangunan negara dengan keperluan terhadap sumber tenaga kerja sentiasa bertambah.

“Menganggap graduan teknikal kurang laku di pasaran adalah kurang tepat kerana permintaan golongan terbabit besar apatah lagi dengan sasaran negara untuk menjadi sebuah negara maju.

“Negara maju memerlukan pekerja berkemahiran dan kelebihan graduan teknikal ada di situ.

“Sebab itu, setiap universiti perlu merangka kurikulum agar dapat melahirkan modal insan berkemahiran tinggi melalui perubahan format pengajian yang memfokus kepada graduan aliran teknikal dan vokasional,” katanya.

Beliau berkata, kemungkinan tanggapan itu dilemparkan disebabkan faktor lain, antaranya kurangnya kemahiran insaniah graduan terbabit.

“Mungkin dari segi kemahiran teknikal yang menjurus kepada pengkhususan, mereka bagus tapi bermasalah dengan kemahiran lain seperti komunikasi.

“Konsep dunia pekerjaan hari ini yang menyeluruh, menyebabkan kemahiran tambahan adalah bonus untuk menarik perhatian industri.

“Cuma tidak adil jika menuding masalah kesukaran memperoleh pekerjaan itu hanya pada satu pihak,” katanya.

Sejajar mencapai hasrat melahirkan sumber tenaga kerja berpendapatan tinggi menjelang 2020, pelbagai usaha dilakukan bagi tujuan itu.

Pada masa kini, bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi masih lagi rendah iaitu hanya 28 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja negara.

Melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan berhasrat mewujudkan 3.3 juta pekerjaan menjelang 2020 yang mana 50 peratus adalah tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Berdasarkan sasaran itu, beliau mengakui pasaran graduan teknikal cukup besar sekali gus mampu memberi peluang pekerjaan kepada pelajar atau graduan aliran teknikal.

“Pelajar atau graduan aliran teknikal sentiasa laris di pasaran melebihi permintaan jurusan akademik.

“Di UMP, hampir 80 peratus graduan mendapat pekerjaan semasa konvokesyen dan ini membantu mengurangkan masalah pengangguran selain mengisi kekosongan pekerjaan baru,” katanya.

Faktor ini juga, katanya memberi satu cabaran kepada universiti awam (UA) mencari solusi melahirkan graduan teknikal yang mampu memenuhi piawaian industri.

Menurutnya, penubuhan UA termasuk di bawah MTUN adalah langkah awal bagi tujuan itu.

“MTUN adalah UA yang berfokus dalam bidang kejuruteraan dan teknologi diberi kepercayaan Kementerian Pendidikan untuk menampung 70 peratus daripada jumlah pelajar dalam bidang teknikal pada 2020.

“Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) turut sama dibangunkan bagi tujuan serupa.

“Dari semasa ke semasa kualiti pendidikan dan latihan juga dipertingkatkan bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran yang memenuhi kehendak sedia ada,” katanya

Mengenai ada pihak suka membandingkan antara graduan universiti teknikal dengan institusi lain, beliau berkata, masyarakat perlu memahami di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) di bawah pengurusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sudah menetapkan beberapa sektor pengajian iaitu kemahiran, vokasional dan teknikal serta akademik.

“Dengan pengelasan sektor pengajian ini, kaedah pembelajaran juga berbeza mengikut sasaran tahap pekerjaan termasuk pemberian sama ada sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan ke atas.

“Bagaimanapun yang penting ialah penanda aras kepada kecemerlangan dan kejayaan sesebuah institusi untuk memasuki pasaran kerjaya melalui graduannya.

“Selebihnya, mereka akan belajar sendiri melalui pengalaman dan ilmu baru yang diperoleh dalam industri sekali gus menjadikan mereka sebagai sumber pembangunan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:06 AM