Noor Nabilah Ibrahim


ERA globalisasi menyaksikan peningkatan tenaga kerja dalam bidang kemahiran dan industri sejajar dengan kemajuan teknologi.

Menurut Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah bidang pendidikan serta latihan yang memberikan penekanan utama terhadap bidang industri dengan tujuan menghasilkan tenaga kerja kompeten dalam bidang terbabit.

Sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang dikawal selia 11 kementerian, termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri yang menyediakan pengajian dan latihan peringkat sijil serta diploma.

Memetik kenyataan di laman rasmi JPK, TVET sering menjadi pilihan kedua dengan tanggapan bahawa ia hanya lanyak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi akademik semata-mata.

Bagaimanapun, stigma itu disangkal JPK kerana kini graduan program TVET kian mendapat perhatian majikan terutama dalam situasi negara yang pesat membangun.

Negara maju seperti Jerman, Jepun dan Perancis menganggap TVET sebagai salah satu kekuatan dalam sistem pendidikan. Malah negara serantau seperti Korea Selatan, China dan Singapura juga turut berusaha memperkasakan bidang berkenaan.

Graduan program TVET berpotensi menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal jauh lebih baik berbanding lulusan pendidikan akademik.

Pekerja swasta, Muhammad Zuhairi Mohd Sokri, 22, berkata, beliau memilih program TVET kerana ingin memohon Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi memudahkan proses mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan.

"Dengan TVET cabang pekerjaan menjadi banyak sekiranya mampu menguasai ilmu dalam bidang ini.

"Oleh itu, bagi belia di luar sana, ambillah peluang mempelajari ilmu kemahiran di mana-mana institusi kerana masa sekarang, kebanyakan sektor pekerjaan memerlukan graduan berkemahiran.

TVET mampu menjana pemikiran kreatif, inovatif dan inventif
TVET mampu menjana pemikiran kreatif, inovatif dan inventif

"Kemahiran itu juga sangat membantu untuk mendapat pekerjaan pada masa hadapan,"

katanya.

Program TVET bukan sahaja mendedahkan pelajar dengan situasi pekerjaan sebenar, malah ia juga menjadikan pelajar lebih berdisiplin dan berkeyakinan terutama apabila memasuki alam pekerjaan.

Selain itu, TVET mampu menjana pemikiran kreatif, inovatif dan inventif yang dapat membantu pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan.

Salah satu kepentingan program TVET ini juga adalah membuka peluang kepada pelajar kurang bernasib baik dalam bidang akademik atau lebih meminati pekerjaan berkaitan teknikal dan vokasional.

Ahli perniagaan, Nurul Aina Najwa Zakaria, 25, berkata beliau memilih pendidikan TVET kerana ia lebih berfokus ke arah bidang kemahiran yang dapat membantu cita-cita beliau untuk membuka syarikat sendiri.

"Bidang kemahiran yang saya ambil iaitu bidang Fashion, Art and Design sangat membantu saya mengendalikan pakaian dan reka bentuk dalam perniagaan saya sekarang,"

katanya.

PROGRAM TVET dapat mengasah bakat terpendam dalam bidang yang diminati.
PROGRAM TVET dapat mengasah bakat terpendam dalam bidang yang diminati.

Nurul Aina yang juga pemilik jenama pakaian wanita 'Njwexclusive' berkata menerusi TVET dia bukan sahaja dapat mempelajari teknik menjahit pakaian dan reka bentuk, malah turut mempelajari cara pemasaran serta mengendalikan perniagaan.

"Pada pandangan saya, sekiranya kita tahu pendidikan apa yang terbaik untuk cita-cita kita, teruskan sahaja. Ini kerana ia dapat membantu kita mengasah minat dan kemahiran sedia ada.

"Apabila kita belajar mengikut apa yang kita minat, kita akan lebih gembira dan bermotivasi untuk belajar," katanya.

Namun, ada juga golongan yang berpendapat bahawa menyambung pengajian dalam bidang akademik tinggi seperti peringkat ijazah sarjana muda, sarjana atau ijazah doktor falsafah (PhD) dilihat lebih menjamin masa hadapan berbanding program TVET.

Pelajar, Fahim Aideed Mohammad Nurdin, 22, mengakui sebelum ini pernah melanjutkan pengajian dalam bidang TVET.

Namun, beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang akademik kerana gaji ditawarkan kepada lepasan Diploma TVET adalah tidak berbaloi.

"Saya pernah cari kerja dalam bidang TVET, tapi susah kerana semua mahu pengalaman, walau pun pengalaman banyak namun gaji hanya naik sedikit sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi tidak menyangkal bahawa kelebihan program TVET dapat mengasah bakat terpendam dalam bidang yang diminati.

"Malah, jangka masa belajar pendidikan TVET adalah lebih rendah berbanding pendidikan akademik.

"Ini membolehkan graduan TVET dapat terus bekerja dan mengumpul duit pada peringkat awal berbanding dengan mereka yang perlu belajar pada peringkat universiti," katanya.

"Kalau berminat untuk ambil pendidikan TVET, ambil sahaja. Apa juga bidang pendidikan ada baik dan buruk. Jadi, bincang dengan ibu bapa dan buat keputusan yang tepat untuk diri sendiri," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 7:00 AM