ANN (kiri) sedia beri saingan sengit kepada Walaa.
ANN (kiri) sedia beri saingan sengit kepada Walaa.
Oleh Ismeth Syah Hamdan


Kuala Lumpur: Atlet Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) wanita pertama negara Ann ‘Athena’ Osman bakal kembali ke gelanggang One Championship (ONE) di Stadium Putra, Bukit Jalil bagi menentang pencabar dari Mesir, Walaa Abbas malam ini.

Selepas menumpaskan bekas Juara Tinju Wanita Dunia, Ana Julaton dari Filipina awal tahun lalu dan Aya Saeid Saber dari Mesir Oktober tahun lalu, Ann yang berlatih di Borneo Tribal Squad di bawah bimbingan AJ Lias Mansor kini lebih bersedia mental dan fizikal.

“Tidak ada tempat untuk kegagalan dalam hidup saya, buat masa ini saya hanya positif dalam fokus menjurus ke arah kemenangan.

“Saya bersedia meraih kemenangan, sekali gus mencapai sasaran muncul juara pusingan kejuaraan kelak,” katanya semalam.

Atlet, 28, yang berasal dari Sabah itu mencapai berat badan rasmi ditetapkan bagi kategori Flyweight Wanita 55.7 kilogram (kg) pada majlis di Hotel Sri Petaling.

Selain Ann, empat lagi peserta tanah air yang bakal bertanding juga mencapai berat badan ditetapkan, Peter Davis, Gianni Subba, Ev Ting dan juara Kejohanan Penaklukan Seni Mempertahankan Diri Campuran Malaysia (MIMMA) musim kedua, Agilan Thani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:12 AM