GOL keempat Schalke  jaringan Huntelaar (kanan).
GOL keempat Schalke jaringan Huntelaar (kanan).
AFP

Madrid: Bos Real Madrid, Carlo Ancelotti mengaku bingung dengan kemerosotan dramatik prestasi juara Eropah itu ketika mereka meloloskan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara sekalipun tumpas 3-4 kepada Schalke, awal pagi semalam.

Kelebihan menang 2-0 pada perlawanan pertama sudah cukup membantu Los Blancos mara ke suku akhir bagi musim kelima berturut-turut pada malam yang menyaksikan kejayaan Cristiano Ronaldo muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam pertandingan Eropah.

Ronaldo dua kali menyamakan kedudukan pada babak pertama (minit ke-25 dan 45) untuk mengatasi legenda Real, Raul dengan 78 gol dalam pertandingan Eropah selepas Christian Fuchs (m-20) dan Klaas-Jan Huntelaar (m-40) membantu Schalke mendahului.

Karim Benzema (m-53) kembali meletakkan Real di depan sebelum Leroy Sane (m-57) dan jaringan menakjubkan Huntelaar (m-84) membolehkan Schalke menang.

Anak buah Ancelotti merakam 22 kemenangan berturut-turut untuk menamatkan 2014 dengan rekod kelab meraih empat trofi setahun selepas menjuarai Piala Kelab Dunia.

Bagaimanapun, sejak awal tahun baru mereka sudah kalah lima daripada 15 perlawanan serta membenarkan Barcelona merampas teraju La Liga dan berada di ambang kejutan terbesar dalam sejarah Liga Juara-Juara.

“Kami bermain dengan amat teruk. Ia tidak dapat difahami selepas apa yang kami lakukan hingga Disember,” kata Ancelotti.

“Jelas saya berasa bersalah kerana setiap orang melihat kami bermain dengan teruk. Ini tidak bagus bagi imej kelab ini.

“Agak normal pemain kurang keyakinan. Saya fikir secara fizikal juga kami merudum. Kami berdepan masalah dalam segenap aspek permainan, serangan, bertahan, keinginan, bertarung dan tumpuan.”

Malah Ancelotti ditanya jika beliau bimbang akan dipecat tidak lama lagi dengan pertembungan penting El Clasico menentang Barcelona bagi perebutan kejuaraan La Liga hadir pada 22 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 10:33 AM