AFP

Gelsenkirchen, Jerman: Selepas membelasah Schalke 04 dalam kunjungan terakhir ke Gelsenkirchen, Real Madrid kembali ke Jerman bagi aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi esok dengan Toni Kroos memberi amaran kelab gergasi Sepanyol itu perlu mengelak bersikap puas hati.

Real mengganas di Arena Veltins milik Schalke pada peringkat sama pertandingan itu Februari lalu apabila Karim Benzema, Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale masing-masing menyumbat dua gol ketika menang besar 6-1 sebelum mara 9-2 secara agregat.

Ia kekalahan terbesar Schalke di laman sendiri di Eropah sebelum jurang gol itu disamakan Chelsea apabila tuan rumah tumbang 0-5 di Gelsenkirchen pada peringkat kumpulan November lalu.

Real hanya menang tiga daripada 27 kunjungan ke Jerman, namun dua kemenangan hadir tahun lalu apabila mereka membenam Schalke kemudian membelasah Bayern Munich 4-0 pada separuh akhir kedua.

Penyandang juara Real akan tampil di Jerman dengan senarai panjang kecederaan yang menyaksikan Sergio Ramos, Luka Modric, James Rodriguez, Sami Khedira dan Fabio Coentrao terpaksa diketepikan.

Pendahulu liga Sepanyol kendalian Carlo Ancelotti itu bergelut dengan prestai selepas dibelasah 4-0 oleh Atletico Madrid hampir dua minggu lalu sebelum menang 2-0 di laman sendiri ke atas Deportivo La Coruna, Sabtu lalu.

“Anda tidak memenangi sesuatu dengan mudah, ia juga dihadapi Real,” jelas bintang tengah Jerman, Kroos. “Jika kami beraksi bagus dalam dua perlawanan, kami boleh pergi lebih jauh.”

Pertahanan Real, Pepe diragui boleh diturunkan ketika dia pulih daripada kecederaan tulang rusuk.

Bintang Real, Ronaldo bergelut dengan kecederaan tempurung lutut kiri yang menjejaskan aksinya hujung tahun lalu dan ketika Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:09 AM