PEMAIN sayap Real  Gareth Bale (bawah) gigih berlatih.
PEMAIN sayap Real Gareth Bale (bawah) gigih berlatih.
AFP

Madrid: Real Madrid kembali ke saingan Liga Juara-Juara dengan kunjungan ke AS Roma sambil sedar mereka perlu menempah tiket ke suku akhir bagi mengubat kekecewaan yang berlaku sepanjang musim ini.

Layak ke kelompok lapan pasukan terakhir buat kali keenam berturut-turut dilihat bukanlah sesuatu yang mustahil buat skuad kendalian Zinedine Zidane itu yang mendahului selesa selepas menang 2-0 pada pertemuan pertama.

Begitupun, Madrid pernah berdepan pengalaman buruk di peringkat sama 12 bulan lalu apabila Schalke membuatkan juara 10 kali itu berputih mata apabila kelab Jerman itu menang 4-3 di Bernabeu.

Prestasi Real di tempat sendiri musim ini juga tidak begitu memberangsangkan walaupun memiliki pemain bertaraf bintang.

Impian mereka untuk mencabar gelaran La Liga Sepanyol musim ini terjejas teruk selepas ditewaskan Barcelona dan Atletico Madrid di depan penyokong sendiri di Bernabeu.

Namun Real menang 15 perlawanan serta seri sekali sepanjang baki aksi di tempat sendiri serta menjaringkan 69 gol.

“Kami masih bermain di Liga Juara-Juara. Ia pertandingan yang kami mahu menangi dan bukanlah satu kebetulan apabila Real Madrid menjadi pasukan yang paling kerap memenangi Piala Eropah,” kata Cristiano Ronaldo.

“Tidak ada yang berubah dan kami akan terus berusaha untuk mencapai sesuatu yang hebat sebelum hujung musim ini.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 7:19 AM