DARI kiri Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia Datuk Azman Mahmud, Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, Mustapa dan Pengerusi ROHM-Wako Electronics Sdn Bhd Datuk Yosuke Yoshioka pada pengumuman mengenai pelaburan tambahan.
DARI kiri Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia Datuk Azman Mahmud, Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, Mustapa dan Pengerusi ROHM-Wako Electronics Sdn Bhd Datuk Yosuke Yoshioka pada pengumuman mengenai pelaburan tambahan.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: ROHM Co Ltd dan ROHM Wako Co Ltd dari Jepun membuat pelaburan tambahan bernilai RM279 juta melalui anak syarikatnya, ROHM-Wako Electronics Sdn Bhd di Kota Bharu, Kelantan bagi menambah kapasiti pengeluaran sedia ada.

Presidennya, Yukihiro Takizawa berkata, kilang baru itu yang akan memulakan kerja pembinaan pada Julai nanti dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2016.

“Kilang di Kota Bharu mula beroperasi sejak 1990 dengan pelaburan terkumpul berjumlah RM924 juta. Pelaburan baru ini dilaksanakan bagi menampung peningkatan pengeluaran dan pada masa sama menambah penguasaan pasaran khususnya dalam segmen semikonduktor,” katanya selepas pengumuman mengenai pelaburan tambahan itu, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, selepas kilang baru berkenaan siap dan mula beroperasi pada tahun depan, pihaknya menjangkakan kapasiti pengeluaran bagi produk diod akan bertambah sekali ganda.

“Buat masa ini, jumlah pengeluaran adalah sekitar tujuh bilion unit sebulan dan kami menganggarkan ia akan melonjak kepada 14 bilion unit sebulan, malah kami turut menyasarkan untuk meningkatkan penguasaan pasaran daripada 19 peratus kepada 30 peratus dalam segmen diod,” katanya.

Kilang baru itu meliputi keluasan lantai mencecah 38,250 meter persegi dengan keluasan bangunan 12,750 meter persegi. Ia dijangka mampu menempatkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan bagi menambah 1,700 kakitangan sedia ada.

ROHM-Wako Electronics juga adalah syarikat asing terbesar menjalankan operasi di Kelantan dan keputusan untuk menambah pelaburan di negeri berkenaan tercetus ketika Misi Perdagangan dan Pelaburan di Jepun yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tahun lalu.

Takizawa berkata, pada tahun lalu, pihaknya berjaya mencapai jualan sehingga RM800 juta dan menganggarkan ia akan meningkat kepada RM900 juta selepas kilang baru itu mula beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:49 AM