MAHATHIR bersama Mohd Nassuruddin berbincang untuk meningkat pelaburan di Kelantan sempena program State Government 4 (SG4) di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam. FOTO Facebook Dr Mahathir Mohamad
MAHATHIR bersama Mohd Nassuruddin berbincang untuk meningkat pelaburan di Kelantan sempena program State Government 4 (SG4) di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam. FOTO Facebook Dr Mahathir Mohamad
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berbincang untuk meningkat pelaburan, penggunaan tanah sebagai modal dan penyelesaian isu bekalan air bersih di Kelantan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika negeri mampu menyediakan kemudahan asas seperti sistem jalan raya, bekalan air dan elektrik yang baik, ia akan menarik pelabur untuk datang melabur.

Katanya, negeri itu juga mampu membekalkan tenaga kerja apabila industri dibuka kerana ramai orang Kelantan berhijrah ke Lembah Klang untuk memenuhi ruang pekerjaan dalam pelbagai industri.

"Kelantan adalah negeri orang berniaga. Rata-rata penduduk terbabit dalam aktiviti perniagaan dan kebanyakannya ialah industri kecil-kecilan.

"Tidak banyak industri kilang dari luar negara bertapak di sini, kecuali syarikat ROHM-Wako Electronics Sdn Bhd dari Jepun yang asalnya di Selangor, tetapi memilih berpindah dan buka kilang di Kota Bharu pada 1989," katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir bertemu dan berbincang mengenai pembangunan negeri dengan Mohd Nassuruddin dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sempena program State Government 4 (SG4) di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, orang Kelantan juga sinonim dengan berniaga dan mereka cekap dalam peluang perniagaan serta sanggup ambil risiko.

"Insya-Allah, negeri ini akan makmur dan berjaya jika sumber negeri dan kebolehan rakyatnya diperkenal dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 9:16 AM