Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Daud tujuh (kanan) bersama Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (lima kanan)  diringi Presiden Syarikat Rohm-Wako Electronic Sdn Bhd, Mr. Hideki Hashimoto (empat kanan)  hadir perasmian bangunan baharu tiga tingkat Syarikat Rohm-Wako Electronic Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Senarai e-Kasih untuk negeri Kelantan perlu dilakukan proses pemutihan kerana didakwa tidak mencerminkan keadaan sebenar paras kemiskinan di negeri itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, isu pemutihan senarai e-Kasih pernah dibangkitkan sebelum ini bagi memberi gambaran sebenar keadaan rakyat sekali gus menjadi rujukan tepat untuk merekodkan paras kemiskinan.

Katanya, beliau tidak pasti kenyataan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini berdasarkan sumber dari mana kerana Kelantan bukan negeri paling miskin.

"Saya pun tak pasti angka mana yang dia (Fadillah) pakai tapi berdasarkan rekod lalu, kita (Kelantan) bukan yang tertinggi, ada negeri lain dan kita nombor tiga selepas Sabah.

"Kemudian ada isu kedua iaitu senarai e-Kasih yang dulu pernah kita tegur kerana tidak mencerminkan keadaan sebenar yang perlu diputihkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian selepas menghadiri perasmian bangunan baharu tiga tingkat Syarikat Rohm-Wako Electronic Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian, Padang Tembak di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Daud.

Dalam kenyataan Fadillah ketika lawatannya ke Kelantan kelmarin, beliau berkata Kelantan merekodkan jumlah bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar tertinggi di Semenanjung.

Menurutnya lagi, sehingga 11 September lalu, jumlah yang direkodkan bagi KIR miskin adalah seramai 57,355 orang manakala jumlah KIR miskin tegar pula seramai 10,417 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 67,772 orang KIR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 2:43 PM