BERNAMA

Kota Bharu: Kerajaan kekal komited menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata iltizam ini akan diteruskan bagi meningkatkan keterangkuman dalam usaha untuk menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi setempat dan meningkatkan kemakmuran negara seperti digariskan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

"Ekonomi Malaysia kini berada di landasan tepat dengan laporan Bank Negara terkini menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 3.1 peratus pada tahun 2021.

"Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk berkembang sebanyak 5.8 peratus tahun ini, selain nilai pelaburan diluluskan bagi tahun 2021 mencecah RM306.5 bilion, iaitu nilai pelaburan diluluskan yang tertinggi pernah direkodkan bagi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah ROHM-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata pelaburan berjumlah RM910 juta oleh syarikat ROHM-Wako Electronics di Kelantan itu adalah sebahagian usaha menyokong agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau negara.

"Ini kerana kilang pembuatan yang dijangka siap pada Ogos 2023 kelak, akan diiktiraf sebagai fasiliti pengeluaran mesra alam yang dijana oleh teknologi penjimatan tenaga hijau.

"Selain itu, kilang ini juga mengeluarkan Transistor Garis Lebar dan Pemacu Litar Bersepadu sebagai produk komponen kenderaan elektrik yang akan menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pembangunan mobiliti karbon rendah negara," katanya.

Beliau berkata pelaburan itu juga akan memberi impak positif terhadap landskap ekonomi negeri untuk jangka masa panjang sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan strategik global dengan menjana pelaburan berimpak tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 12:34 PM