Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga mengumumkan keputusan untuk melanjutkan tempoh konsesi bagi Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) kepada dua pengeluar tenaga bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai langkah memastikan kesinambungan kepada bekalan elektrik di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Ahmad Fauzi Hasan berkata, lanjutan itu membabitkan Segari Energy Ventures Sdn Bhd dan Genting Sanyen Power Sdn Bhd dengan tempoh 10 tahun lagi manakala tempoh untuk TNB pula dilanjutkan bagi tempoh berbeza antara setahun hingga 10 tahun bagi tiga stesen jana kuasanya.

“Lanjutan ini diberikan melalui tawaran kompetitif oleh pihak terbabit dan harga akan ditentukan berdasarkan kepada kos paling kurang kepada sistem ini,” katanya pada sidang media bersempena Forum Tenaga Kebangsaan Keenam di sini, semalam.

Sehingga kini, dua syarikat terbabit dan TNB melalui tiga stesen jana kuasa iaitu sebuah di Pasir Gudang dan dua di Jambatan Connaught memiliki kapasiti bekalan tenaga elektrik berjumlah kira-kira 2,915 Mega Watt (MW).

Dalam perkembangan sama, kerajaan bersedia melanjutkan tempoh pegangan konsesi kepada IPP jika pihak terbabit mampu menawarkan harga kompetitif terutama daripada aspek kos margin.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha), Datuk Loo Took Gee berkata, langkah terbabit juga boleh dipertimbangkan jika pihak IPP mampu memberikan kadar lebih baik kepada pengguna, sekali gus membantu usaha kerajaan dalam memberi kemudahan terbaik kepada rakyat di negara ini.

“Saya lihat IPP masih relevan untuk dilaksanakan dan tidak membebankan kos tenaga di negara ini kerana ia dilaksanakan melalui pelaksanaan tawaran lebih kompetitif daripada pihak IPP,” katanya.

Forum Tenaga Kebangsaan Keenam dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Tenaga, Persatuan Gas Malaysia (MGA) dan Majlis Tenaga Malaysia (Ecom) bertujuan membincangkan cabaran dan strategi untuk mempertingkatkan keselamatan tenaga pada masa depan dan memastikan pembekalan tenaga berkekalan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:22 AM