Kuala Lumpur: Industri besi dan keluli akan mengalami peningkatan kos pengeluaran daripada RM855 juta kepada RM1 bilion apabila kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa pada Mac tahun depan, menurut Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF).

Kumpulan industri itu berkata, kenaikan tarif elektrik bagi pengguna industri akan mendorong peningkatan kos pengeluaran sekali gus menjejaskan peserta industri tempatan.

“Kami menyedari bahawa situasi sukar dan kebimbangan industri tidak mungkin diberikan pertimbangan serius walaupun banyak perbincangan bersama Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan beberapa kementerian seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Sebagai industri berintensifkan tenaga, elektrik adalah utiliti penting selain gas asli dan mewakili komponen kos pengeluaran kedua tertinggi selepas bahan mentah untuk industri besi dan keluli,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

MISIF berkata, peserta industri berusaha menangani cabaran ini dan pada masa sama mengekang kos masing-masing untuk membolehkan mereka bersaing secara kompetitif dengan pengeluar serantau lain.

“Industri besi dan keluli menghadapi serangan import murah paling buruk dalam tempoh lima tahun.

“Walaupun baru saja pulih, industri mengalami kelembapan disebabkan sentimen susulan perang perdagangan Amerika Syarikat-China serta peningkatan persaingan daripada pengeluar serantau lain dan penguasaan peserta asing di peringkat tempatan,” katanya.

MISIF berharap pihak berkuasa berkaitan akan menghentikan kenaikan berterusan harga elektrik dan sebarang usaha untuk menangguhkan atau mengurangkan kenaikan tarif elektrik termasuk melarang sebarang peningkatan pada masa depan bagi gas asli akan membantu melindungi perniagaan itu daripada risiko dan terjejas.

“Penting untuk mengekalkan daya saing kita yang mempunyai kesan meluas terhadap daya maju dan kemapanan industri strategik bagi pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, TNB mengumumkan akan menaikkan surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos (ICPT) untuk pengguna bukan isi rumah mulai 1 Mac 2019 untuk mengimbangi kenaikan kos.

Surcaj ICPT akan meningkat kepada 2.55 sen per kWh daripada kadar semasa 1.35 sen per kWh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 12:00 AM