Ketua Pengeluaran, Kaswadi Abdul Halim (kiri) bersama Pengurus Tanjung Bin Power Plant, Mohd Sallehuddin Abu Bakar (dua dari kiri) menunjukkan Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE) yang beroperasi di Kompleks Janakuasa Tanjung Bin, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ketua Pengeluaran, Kaswadi Abdul Halim (kiri) bersama Pengurus Tanjung Bin Power Plant, Mohd Sallehuddin Abu Bakar (dua dari kiri) menunjukkan Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE) yang beroperasi di Kompleks Janakuasa Tanjung Bin, Pontian. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohamad Fahd Rahmat


Pontian: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menyatakan kesediaan pihaknya menyediakan bekalan kuasa 1,000 Megawatt (MW) untuk keperluan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia melalui janaan arang batu di Stesen Janakuasa Bebas (IPP) Tanjung Bin 4 di sini yang memulakan operasi komersialnya awal pagi hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) Habib Husin berkata, stesen berkenaan yang lebih dikenali sebagai T4 mendapat Notice to Proceed (NTP) pada Mac 2012 dan berjaya dihubungkan dengan Grid Kebangsaan pada 15 Oktober lalu.

Katanya, buat masa ini T4 memenuhi semua aspek ujian yang diperlukan dalam soal keselamatan dan pergantungan tenaga yang boleh dipercayai.

"Loji janakuasa Tanjung Bin Energy (TBE) dianugerahkan oleh Suruhanjaya Tenaga menerusi proses bidaan yang kompetitif. Semasa pembinaannya kami mencabar keupayaan sendiri untuk membekalkan tarif elektrik yang berpatutan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bilangan pengguna yang ramai.

"Dalam masa sama, kami menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PFA) bersama TNB selain memeterai Perjanjian Pembekalan Arang Batu dan Pengangkutan (CSTA)antara TBE dengan TNB Fuel Services Sdn Bhd.

"TBE akan membekalkan kuasa kepada TNB melalui kontrak PPA selama 25 tahun manakala CSTA akan memastikan kesediaan dan kualiti pembekalan arang batu untuk dijana di loji janakuasa," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Difahamkan kos pembiayaan projek T4 mendapat suntikan dana daripada dalam dan luar negara yang mencecah RM6.7 billion serta dijangka memberi limpahan sosio ekonomi termasuk peluang pekerjaan di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 4:52 PM