BAHARIN (dua dari kanan) pada forum di ENLIT Europe 2022 di Frankfurt, Jerman.
BAHARIN (dua dari kanan) pada forum di ENLIT Europe 2022 di Frankfurt, Jerman.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggesa penggiat tenaga serta sektor awam dan swasta di seluruh dunia terus bekerjasama dan memanfaatkan amalan terbaik masing-masing dalam perjalanan ke arah masa depan mampan.

Bercakap pada ENLIT Europe 2022 di Frankfurt, Jerman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Indera Baharin Din berkata, tenaga menjadi pemacu transformasi terbesar dengan perubahan pesat di dunia.

Pada masa sama, katanya trilema antara ekuiti tenaga, alam sekitar dan keselamatan tenaga kekal sebagai cabaran terbesar dalam peralihan tenaga, menurut TNB dalam kenyataan semalam.

Katanya, bagi negara membangun, teras sistem tenaga ideal kekal mengimbangi trilema tenaga, apabila akses kepada tenaga mampu milik dan jaminan bekalan menjadi penting.

"Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada antara tarif elektrik paling kompetitif di Asia Tenggara dan Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) TNB ialah 45 minit yang kini setanding negara maju terbaik di dunia," katanya.

Bagi TNB, katanya peralihan tenaga mewakili cabaran dan peluang. Cabarannya ialah keperluan untuk beralih segera kepada dunia rendah karbon selain memenuhi jangkaan pemegang saham dan pihak berkepentingan TNB yang meningkat.

"Skala dan kelajuan peralihan tenaga adalah persoalan ekonomi. Oleh itu, kami percaya menguruskan cabaran ini memerlukan peralihan secara berperingkat.

"Kerajaan menjadi elemen penting dalam peralihan ini dengan membantu memperkenalkan skim dan dasar pembiayaan inovatif yang memudahkan peralihan dan mengurangkan risiko," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya Asean mengiktiraf kesalinghubungan kukuh antara negara Eropah yang membawa kepada pelaksanaan beberapa nilai termasuk perkongsian sumber selain menguruskan kebolehubahan tenaga boleh baharu.

Merujuk kepada faedah penjimatan kos terutama semasa krisis tenaga pada tahun ini, diraih oleh pengguna awal tenaga boleh baharu di Eropah sejak dua dekad lalu, katanya TNB bekerjasama dengan Grid Tenaga Asean serantau untuk mengukuhkan kesalinghubungan bagi mendapatkan kelebihan sama.

ENLIT Europe 2022 selama tiga hari yang berakhir pada 1 Disember adalah perhimpunan pemimpin pemikiran, berwawasan, pegawai tertinggi dan pakar dalam industri tenaga.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan lebih 4,000 perwakilan daripada organisasi dan penggiat industri dari seluruh dunia yang berada dalam perjalanan peralihan tenaga sama untuk bekerjasama, berinovasi dan membincangkan isu dalam sektor tenaga, menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:20 AM