Kumpulan ini memang tengah top sekarang dan lagu mereka sering berkumandang di radio. Namun ada cerita kurang sedap yang Cik Pang dengar mengenai mereka.

Biasalah, apabila popular tentulah nama mereka jadi pilihan untuk mengadakan persembahan dan mereka antara yang dipelawa menjayakan konsert ulang tahun syarikat akhbar tempat teman Cik Pang bekerja.

Namun apabila tawaran diberikan, pengurusan kumpulan itu buat perangai. Katanya, artis lain yang dihubungi semuanya memberi kerjasama baik, termasuklah artis gred A yang bertaraf VIP dan popular di dalam dan luar negara.

Malangnya apabila dihubungi pengurus kumpulan itu, alasan diberi, mereka tidak layak membuat persembahan dalam konsert sambutan hari jadi. Kalau nak panggil juga mereka buat persembahan untuk konsert itu, kena bayar harga biasa, bukan harga media.

Betulkah cerita yang sampai ke telinga Cik Pang ini atau mereka salah dengar dan berlaku salah faham? Sememangnya Cik Pang cepat panas kalau mendengar artis yang baru hendak naik tapi sudah pandai ‘demand’.

Cik Pang cukup pantang melihat artis baru mula lupa diri dan main cakap saja tanpa berfikir dengan siapa mereka bercakap.

Adakah pengurus itu tidak hargai sumbangan media yang sebelum ini banyak membantu kerjaya seni mereka?

Kalau ya pun tidak dapat memenuhi jemputan, bukankah lebih elok memberi alasan yang lebih sopan dan masuk dek akal? Namun, kalau beri alasan seperti itu, memang geram mendengarnya.

Nasihat buat mereka yang mula nak pilih kasih buat persembahan selepas ini, jangan lupa untuk berpijak di bumi nyata. Bimbang nanti meraih simpati media minta publisiti apabila diri kurang dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:02 AM