Showcase Amal Artis Lagenda 90’an.
Showcase Amal Artis Lagenda 90’an.
Cik Pang

Minggu lepas Cik Pang bawa berita gembira jualan tiket konsert Siti Nurhaliza On Tour Kuala Lumpur sangat laris.

Minggu ini pula Cik Pang dapat tahu jualan tiket dan meja Showcase Amal Artis Lagenda 90’an anjuran penyanyi Nizam Laksamana juga laris bak pisang goreng panas.

Difahamkan sebanyak 30 meja dijual dengan harga RM1,500 sudah ditempah oleh peminat untuk persembahan di EDC Hotel, Kuala Lumpur pada 22 Februari depan.

Ramai yang teruja dan berpusu-pusu mendapatkan tiket kerana harga ditawarkan agak murah dan mereka dapat menyaksikan persembahan lapan artis popular era 90-an iaitu Nizam Laksamana, Ameng Spring, Bagio Damasutra, Amir Ukays, Gmie Screen, Ringgo Arrow, Tiar Jinbara dan Zamani Slam.

Menerusi pengamatan Cik Pang, pecahan mereka yang membeli tiket adalah sama rata dan bukan kerana minat terhadap artis tertentu saja.

Malah Cik Pang sendiri tak sabar menyaksikan acara itu kerana lagu-lagu dendangan barisan penyanyi itu akan mengembalikan semula kenangan zaman sekolah Cik Pang serta zaman naik bas mini di ibu kota.

Bagaimanapun, dalam pada Nizam dan rakan-rakannya seronok, mereka tetap terkilan kerana gagal mendapat tajaan mana-mana pihak.

Maklumlah... kalau konsert artis luar bukan ramai lagi syarikat korporat atau individu kaya berebut-rebut mahu taja.

Kalau diperhatikan, semua artis ini legenda dalam dunia seni suara tanah air dan lagu mereka masih jadi siulan ramai meski sudah berusia hampir 30 tahun.

Cik Pang bersimpati kerana kekurangan bajet, mereka terpaksa menyanyi dengan menggunakan minus one dan bukannya dengan iringan barisan pemuzik.

Pada Cik Pang, masih ada masa sekiranya mana-mana pihak berminat untuk menaja persembahan ini.

Lagipun, niat artis yang terbabit dengan cara ini mulia iaitu mengumpul dana untuk keluarga asnaf, rumah anak yatim dan gelandangan.

Jadi semua pihak wajarlah menyokong usaha baik ini.

Artis kena ilmu hitam

Patutlah Cik Pang dah lama tak nampak aktiviti seni atau perkembangan semasa pelakon wanita ini di laman sosial.

Rupa-rupanya dia terpaksa berehat atau lebih tepat lagi mendiamkan diri kerana dibelenggu penyakit misteri.

Apa tidaknya, sekiranya mahu kembali aktif atau menonjolkan diri di laman sosial, mulalah rasa tak selesa dan kemudian berdepan sakit-sakit di sana sini sehingga kesihatannya terganggu.

Mungkin kedengaran agak pelik tetapi itulah yang dilalui hingga hidupnya terasa sangat sukar. Maklum saja periuk nasinya bergantung kepada kerjaya seni.

Bagi menampung perbelanjaan, dia terpaksa menjual beberapa peralatan yang sudah tak digunakan dan pakaian lama.

Apatah lagi dia pun sudah berhijrah sekarang dan memang sesuai sangat dia menjual atau membuang pakaian yang tidak relevan dengan imejnya sekarang.

Cik Pang sendiri kasihan kerana ketika diuji dengan sakit, kawan-kawan rapatnya mula menjauhkan diri.

Malahan ketika dia mahu mencagarkan barangan peribadinya yang bernilai puluhan ringgit dengan wang pun, mereka enggan bantu dengan pelbagai alasan sedangkan di media sosial bukan main gah lagi paparkan gambar bercuti di luar negara.

Sudah-sudahlah bergaduh

Masih terbayang di ingatan Cik Pang satu peristiwa menggemparkan berlaku dalam dunia seni tanah air tahun lalu.

Ada yang seronok mengikuti perkembangan ini namun bagi Cik Pang ia amat menyedihkan buat kita semua.

Biarlah perkara itu berlalu dan jangan dikenang lagi kerana sangat meninggalkan kesan terhadap industri hiburan.

Lagipun, tiada apa lagi yang perlu dikecohkan kerana individu terbabit sudah pun pergi menyahut panggilan Illahi dan semua pihak wajar menerimanya dengan hati terbuka.

Justeru Cik Pang sangkakan ia sudah berakhir tapi agak terkejut apabila gendang perang dimulakan semula oleh anak kepada insan seni tersohor ini.

Luahan hatinya terhadap apa yang berlaku dalam sebuah program hiburan sensasi kembali menyemarakkan api yang sudah terpadam.

Cik Pang dapati, isteri kepada individu tadi terus melenting dan segera menjawab persoalan yang dibangkitkan itu di laman sosial miliknya.

Dalam hal ini, Cik Pang tak menyebelahi mana-mana pihak. Sesiapapun tak bersalah kerana masing-masing berhak dan perlu menegakkan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun, adalah lebih manis jika kedua-dua pihak duduk semeja berbincang secara baik daripada menuding jari mencari siapa yang salah.

Cik Pang doakan perkara baik-baik untuk mereka dan diharapkan agar kekeruhan ini segera terlerai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 10:31 AM