Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Ops Cantas Khas yang dilaksanakan Kontinjen Selangor dari 20 Februari hingga 5 Mac lalu menurunkan indeks jenayah di negeri itu sebanyak 274 kes berbanding tahun lalu.

Dalam operasi sama tahun lalu dari 20 Februari hingga 5 Mac 2014 jumlah kes dilaporkan adalah 1,451 kes dan ia menurun kepada 1,177 kes dalam tempoh sama tahun ini.

Operasi berkenaan memberi tumpuan terutama di sekitar daerah Klang dan ia adalah kesinambungan daripada Ops Cantas Khas Utara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ops itu diadakan khusus bagi membanteras aktiviti kongsi gelap dan samseng.

"Operasi membabitkan pasukan STAGG, STAFOC serta STING itu menahan 1,649 individu atas pelbagai kesalahan jenayah.

"Kami juga merampas pelbagai barang bernilai RM825,695.00 selain pelbagai jenis dadah dan menumpaskan tiga kumpulan jenayah samun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 12:57 PM