Klang: Dalam tempoh dua minggu Ops Cantas Khas dilancarkan dari 20 Februari hingga 5 Mac lalu untuk membanteras aktiviti kongsi gelap dan samseng di daerah ini seramai 1,649 individu yang melakukan pelbagai kes jenayah ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, operasi itu membabitkan pasukan Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG); Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) serta Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING).

“Kita memeriksa 28,690 individu dengan 2,012 daripada mereka adalah warga asing. Daripada jumlah itu kami menahan 1,649 individu atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Mereka ditahan mengikut kategori iaitu kes jenayah (593), dadah (245), judi (156), maksiat (223), imigresen (289), pemerdagangan orang (6), individu dikehendaki (6) dan lain-lain kesalahan (131),” katanya ketika sidang media Ops Cantas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, semalam.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu juga, 14,403 kenderaan pelbagai jenis diperiksa membabitkan 7,522 motosikal, 5,324 kereta dan 1,557 lain-lain kenderaan dan pihaknya mengeluarkan 3,148 saman kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Dalam ops ini kami merampas 75 kenderaan pelbagai jenis, 41 senjata, 54 unit alat pecah rumah, 70 unit mesin judi berkomputer, dadah dan 2,144 lain-lain barang.

“Heroin mencatatkan dadah paling banyak dirampas iaitu 153.262 gram diikuti syabu 97.03 gram, ganja 9.28 gram selain dadah eramin 5 sebanyak 64 biji dan pil yaba 60 biji,” katanya.

Beliau berkata, tujuh kertas siasatan dibuka mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011 (AMLA) membabitkan wang tunai yang disita berjumlah RM71,028.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:53 AM