Noor Rashid mencuba senjata jenis Rifle Sniper Barrett 12.7 mm pada majlis Penutup Pertandingan Menembak IPSC Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM 2016 di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras. FOTO Rosela Ismail
Noor Rashid mencuba senjata jenis Rifle Sniper Barrett 12.7 mm pada majlis Penutup Pertandingan Menembak IPSC Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM 2016 di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras. FOTO Rosela Ismail
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ops Cantas Khas 2 yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat bagi membanteras jenayah tembak yang semakin berleluasa menggabungkan Pasukan Tindakan Anti Maksiat, Judi dan Gengsterism (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, operasi itu akan dipengerusikannya.

"Kita menyedari jenayah tembak kini semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Justeru, kita akan melancarkan Ops Cantas Khas 2 bagi mengekang penularan kes tembak dengan penambahbaikan tindakan operasi yang lebih efisyen.

"Ini termasuk menggabungkan ketiga-tiga pasukan operasi khas terdiri daripada STAGG, STING dan STAFOC yang akan dipengerusikan saya sendiri," katanya.

pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan pertandingan menembak International Practical Shooting Confideration (IPSC) Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2016, di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Rashid berkata, polis mengesan elemen pembunuh upahan dalam jenayah tembak berdasarkan ujian balistik yang dijalankan terhadap peluru yang ditemui dalam kes terdahulu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, terdapat beberapa kes tembak sebelum ini membabitkan penggunaan senjata api yang sama berdasarkan ujian yang dijalankan.

"Kita tidak nafikan ada kes membabitkan suspek mengambil upah menembak individu lain bergerak secara bersendirian ataupun kumpulan kecil terdiri daripada kumpulan kongsi gelap.

"Ini sekali gus membuktikan ada di antara pembunuh upahan dan kumpulan kongsi gelap terbabit dalam beberapa kes tembak yang berlaku sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 7:54 PM