KOSTUM Cicakman yang dipakai Zizan dilihat kurang kemas berbanding Superbro.
KOSTUM Cicakman yang dipakai Zizan dilihat kurang kemas berbanding Superbro.
KOSTUM Superbro sukar dipakai Fizz.
KOSTUM Superbro sukar dipakai Fizz.
FIZZ turut berlakon sebagai Inspektor Azman.
FIZZ turut berlakon sebagai Inspektor Azman.
AKSI Superbro yang dilakonkan pelakon lagak ngeri.
AKSI Superbro yang dilakonkan pelakon lagak ngeri.
Oleh Norhadiani Baharom


Filem Cicakman 3 yang bakal ditayangkan pada 12 Mac ini menyaksikan rombakan watak secara menyeluruh.

Yang pasti, ia bukan sekuel kepada Cicakman 1 dan Cicakman 2. Kini, selepas tujuh tahun Cicakman kembali digarap KRU Studios bersama Grand Brilliance dan Astro Shaw dengan adunan jalan cerita serta perwatakan yang berbeza.

Ia menyaksikan watak Man dan Cicakman dibawa Zizan Razak menggantikan Saiful Apek.

Selain itu, filem arahan Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar ini juga memperkenalkan karakter baru iaitu Superbro lakonan Fizz Fairuz yang mencetuskan elemen ‘the dark side’ dalam filem ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim, transformasi watak Superbro dari lakaran kepada realiti membabitkan kos yang tinggi

“Kostum Superbro jauh lebih mahal berbanding Cicakman kerana ia dihasilkan lengkap dengan sistem teknologi.

“Kostum untuk kedua-dua watak itu saja mencecah ratusan ribu ringgit. Malah, kos paling tinggi untuk pembikinan filem ini ialah dalam menghasilkan dua kostum itu,”katanya.

Menurut Yusry, mereka terpaksa menghasilkan dua kostum untuk watak Superbro tetapi berbeza dari segi penggunaan bahan.

Satu daripadanya akan dipakai Fizz dan satu lagi dipakai pelakon lagak ngeri yang menjadi ‘stand in’ kepada Fizz dalam beberapa babak.

“Kostum yang dipakai pelakon lagak ngeri kami dibuat daripada getah untuk memudahkan pergerakan untuk adegan aksi. Ia juga lebih berat berbanding kostum dipakai Fizz.

“Saya tabik kepada pelakon lagak ngeri kami yang diterbangkan khas dari Thailand kerana dalam keadaan kostum yang berat, dia mampu melakukan babak aksi termasuk berlawan,” katanya.

Selain itu, kostum untuk watak Cicakman juga dihasilkan lebih dari satu dan salah satunya digunakan untuk babak terbakar.

Fizz yang turut membawa watak sebagai Inspektor Azman dalam filem ini mengakui dia menghadapi kesukaran untuk berlakon setiap kali memakai kostum Superbro.

“Proses memakainya saja sudah rumit. Itu belum lagi ketika berlakon dan melakukan pergerakan. Memang saya tidak selesa, lebih-lebih lagi terpaksa memakainya selama tiga jam dalam sehari,” katanya.

Fizz berkata, ada juga kejadian skru di kostum itu tercabut dan proses memasang semula mengambil masa dan mengganggu sedikit kelancaran penggambaran,” katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata, pihaknya mengharapkan Cicakman mampu setanding dengan watak superhero ciptaan Marvel di Hollywood yang mendapat keuntungan bukan saja daripada penerbitan filem tetapi juga barangan cenderahati atau ‘merchandise’.

“Cicakman 2 ditayangkan tujuh tahun lalu. Kita boleh tampil dengan strategi pemasaran seperti ini tetapi agak berisiko. Tambahan pula filem, selepas tamat penayangan selalunya orang akan lupa.

“Perancangan kami yang seterusnya adalah menerbitkan Cicakman dalam format drama bersiri. Sekiranya percubaan ini berjaya dan Cicakman mampu dikenali sebagai satu jenama sebagaimana Upin Ipin, pasti pelaksanaan itu dilakukan,” katanya.

Selain Zizan dan Fizz, Cicakman 3 turut dibintangi Lisa Surihani, Bell Ngasri, Rashidi Ishak, Adam Corrie, Azizah Mahzan, Yus Jambu dan Sathiya.

Kostum Cicakman kurang kemas

Jika kostum Superbro dilihat lebih berkualiti dan dilihat hampir setaraf dengan kostum watak terkenal Hollywood, Robocop, lain pula ceritanya kostum untuk watak hero Cicakman di mana pembuatannya kurang kemas.

Ketika menjelaskan perkara itu, Yusry mengakui ia memang disengajakan dan ia sudah dibincang dengan Ghaz di peringkat praproduksi lagi.

“Kita tampilkan watak Man sebagai seorang lelaki yang berdepan masalah rumah tangga dan suami yang ‘loser’ sebelum dia secara tak sengaja mendapat kuasa luar biasa Cicakman.

“Menerusi dua filem Cicakman sebelum ini, berbanding Saiful Apek yang membawa watak itu, saiz tubuh Zizan dilihat lebih tegap. Disebabkan itu ada babak menunjukkan Man tidak boleh memasang zip kostum sebenar Cicakman,” katanya.

Menurut Yusry, ada juga babak menunjukkan Man mencari kostum Cicakman di kedai pakaian. Jadi dari segi logik, pasti kostum yang dijumpai tidak kemas,” katanya.

Membezakan antara Cicakman 3 dengan sebelumnya, garapan jalan cerita kali ini tidak menampilkan komedi semata-mata tetapi diimbangi isu kekeluargaan bagi mencapai sasaran khalayak penonton.

Pembikinannya juga menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) selain dikuatkan dengan babak aksi.

Zizan dan Fizz tak kisah guna ‘stand in’

Adakah Zizan dan Fizz puas berlakon dalam Cicakman 3 kerana sebahagian babak membabitkan mereka menggunakan pelakon lagak ngeri sebagai ‘stand in’?

Bolehkah mereka terima jika ada peminat dalam kalangan kanak-kanak menganggap mereka adalah pelakon sebenar watak itu sedangkan apa yang dipamerkan bukan 100 peratus dilakukan mereka sendiri?

Menurut Zizan, watak Cicakman dan Superbro adalah rekaan semata-mata. Jadi penggunaan pelakon lagak ngeri bukan sebagai satu helah atau menipu.

“Saya mengaku memang tidak pandai melakonkan babak aksi. Bukan saya tidak mencuba langsung, cuma ada bahagian yang terlalu teknikal dan perlu dilakukan oleh pelakon lagak ngeri atas aspek keselamatan,” katanya.

Bagi Fizz pula, dia tidak puas melakonkan watak Inspektor Adam dan Superbro biarpun watak itu nampak hebat dalam filem.

“Bukan tidak mahu buat tapi tidak dibenarkan buat. Saya harus akur dengan keputusan itu bagi mengelak timbulnya sebarang masalah kepada pihak produksi apabila tercedera,” katanya.

Sementara itu, Yusry berkata, biarpun ada babak tertentu pelakon lagak ngeri muncul sebagai ‘stand in’, tetapi untuk babak ‘close up’ seperti pergerakan tangan harus menggunakan pelakon asal kerana pergerakan yang mereka lakukan memberikan rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 11:15 AM