ZIZAN akui kontroversi sedikit sebanyak ganggu kerjaya tapi dia tidak salahkan mana-mana pihak termasuk media.
ZIZAN akui kontroversi sedikit sebanyak ganggu kerjaya tapi dia tidak salahkan mana-mana pihak termasuk media.
Syanty Octavia Amry


Kehidupan pelakon dan pelawak Zizan Razak tahun lalu lebih terdedah kepada kontroversi kisah peribadi membabitkan percintaannya dengan pelakon Emma Maembong selain kes saman membabitkan dia dengan bekas pengurusnya.

Disebabkan perkara itu, populariti Zizan seolah-olah tenggelam biarpun banyak drama dan filem lakonannya ditayangkan.

Ini juga dapat dilihat pembabitan Zizan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 apabila dia gagal memenangi sebarang kategori.

Malah, dalam Anugerah MeleTop Era 2015 yang berlangsung kelmarin, Zizan tidak menang satu kategori pun walaupun menerima lapan pencalonan.

Mengakui apa yang berlaku sedikit sebanyak mengganggu kerjayanya, Zizan tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk media yang membuat liputan mengenai isu itu.

Baginya, sebagai seorang pelakon perkara seperti ini perlu dilalui dan dia bersedia menerima apa juga kemungkinan yang boleh mencacatkan popularitinya.

“Saya tidak marah dan tidak menyalahkan sesiapa terhadap kontroversi yang saya lalui. Berada dalam industri ini saya perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan yang bakal berlaku.

“Jika saya dapat membaca masa depan mungkin saya boleh tahu apa yang hendak dilakukan. Justeru, disebabkan tidak tahu, saya terpaksa bersedia menghadapinya walaupun ia mungkin menyakitkan.

“Saya juga perlu akur jika ada peminat yang tidak menyukai saya. Walaupun dikutuk dan dikeji saya anggap ia cabaran sebagai anak seni dan mana yang baik saya jadikan sebagai semangat untuk terus bertahan dalam bidang ini,” katanya yang turut dicalonkan dalam tiga kategori di ABPBH2014 yang akan berlangsung April ini.

Enggan menoleh ke belakang, Zizan berharap tahun 2015 memberi sinar baru sekali gus me­ngubah kehidupan dan kerjayanya berikutan masih banyak kerja yang perlu disiapkan.

Masalah saman yang sedang dilalui biarlah orang yang berkenaan saja menyelesaikannya dan dia memilih untuk tidak memberi sebarang kenyataan bimbang dimanipulasi pihak lain.

Hasrat berlakon Cicakman 3 terlaksana

Impiannya untuk berlakon filem Cicakman termakbul apabila Zizan yang pada mulanya berharap ditawarkan apa juga watak dalam filem berkenaan diberi tanggungjawab menjadi Cicakman untuk filem yang ketiga ini.

Pernah berlakon watak superhero menerusi filem Kapoww, Zizan mengakui mengikuti filem Cicakman sejak filem pertama lagi.

Justeru melihat filem berkenaan dia sangat tertarik dan berharap diberi peluang berlakon walaupun sekadar watak sampingan.

“Alhamdulillah, rezeki. Sejak mengikuti cerita ini saya sudah me­nyimpan harapan dapat menjadi seorang pelakonnya. Namun rezeki apabila terus ditawarkan sebagai watak utama.

“Rasa terkejut dan teruja. Saya berharap lakonan saya dalam filem ini tidak disamakan dengan Saiful Apek, walaupun ini adalah filem Cicakman, jalan ceritanya sudah jauh berubah dan ini adalah Cicakman yang lebih realistik.

“Saya berharap sebelum peminat membuat penilaian dan cuba membeza-bezakan cara saya dan Apek, tonton dulu filem ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan dua pengarah buat pertama kalinya, Zizan mengakui tiada sebarang masalah kerana Yusry dan Ghaz sangat profesional terhadap kerja masing-masing.

“Selalunya sebelum berada di set penggambaran mereka ­sudah berbincang apa yang mereka mahu pelakon lakukan. Justeru, tidak timbul sebarang masalah ketika berada di lokasi penggambaran kerana masing-masing akan beritahu apa mereka mahu,” katanya.

Selain itu, Zizan mengakui aksi ‘stunt’ yang banyak terdapat dalam filem ini turut memberi cabaran besar buatnya, namun dia terpaksa akur ada babak ‘stunt’ yang memerlukan khidmat orang lain.

Cicakman 3 bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 12 Mac depan turut dilakonkan oleh Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Bell Ngasri, Rykarl Iskandar, Rashidi Ishak, Adam Corrie, Azizah Mahzan, Yus Jambu dan Sathiya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 9:06 AM