TERAJU utama Cicakman 3, Lisa Surihani dan Zizan.
TERAJU utama Cicakman 3, Lisa Surihani dan Zizan.

Kuala Lumpur: Persaingan dengan filem blockbuster Hollywood dan tempatan tidak menggugat tayangan filem aksi komedi, Cicakman 3 apabila ia berjaya mengutip lebih RM2.5 juta selepas 10 hari ditayangkan.

Penerbit Eksekutif Grand Brilliance (GB), Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, jumlah kutipan semasa Cicakman 3 itu menunjukkan penonton masih memberikan sokongan pada filem tempatan walaupun pelbagai filem lain turut ditayangkan serentak ketika ini.

“Kami sangat gembira sebab (kutipan) filem ini menunjukkan peningkatan pada minggu kedua. Dengan situasi kutipan filem tempatan yang merudum sebelum ini tapi pada tahun ini seperti ada perkembangan positif pada filem tempatan.

“Kita sedia maklum Cicakman 3 perlu bersaing dengan Chappie dan Cinderella tapi alhamdulillah ada sambutan yang menggalakkan daripada penonton. Ia satu rekod yang membanggakan setakat ini,” katanya.

Filem arahan Yusry Abdul Halim bersama Ghaz Abu Bakar itu turut dibintangi Lisa Surihani, Fizz Fairuz dan Rykarl Iskandar.

Ia mengisahkan ketidakmatangan Man (Zizan) sebagai seorang bapa menyebabkan isterinya Linda (Lisa) menuntut cerai. Man tertekan apabila Inspektor Adam (Fizz) yang juga rakan sekolahnya cuba merampas Linda.

Kehidupan Man berubah apabila dia menemui serum milik Cicakman yang memberi kuasa luar biasa kepadanya. Man cuba belajar menjadi Cicakman yang baru, tetapi kehadirannya tidak lagi dianggap relevan di Metrofulus selepas kemunculan hero baharu, Super-Bro.

Filem terbitan bersama KRU Films dan TGV Pictures ditayangkan sejak 12 Mac lalu.

Terdahulu, Cicakman (2006) mengutip RM6.7 juta dan Cicakman 2: Planet Hitam (2008) dengan kutipan RM2.85 juta.

Iesta menambah, pihaknya berharap kutipan semasa yang memberangsangkan itu memberikan harapan buat filem lakonan Zizan Razak itu dilanjutkan tayangan ke minggu ketiga.

“Walaupun kami sedar ia akan bersaing pula dengan filem baru yang akan mula ditayangkan esok (Khamis), saya harap Cicakman 3 masih dapat tempat di hati penonton.

“Perkembangan positif ini yang turut berlaku pada filem-filem lain pada suku pertama tahun ini adalah momentum yang baik untuk dikekalkan bagi menaikkan semula kutipan filem tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 10:22 AM