Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah semalam atas tuduhan menjelaskan satu doktrin yang berlawanan dengan hukum syarak.

Wan Ramlah Megat Razalli, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Syarie Ibrahim Deris.

Mengikut pertuduhan, Wan Ramlah didakwa didapati bersama dengan Mohd Fazil Mohd Yunus, 38, menjelaskan satu doktrin yang mengubah pengertian ‘kalimah Allah’ kepada perkataan ‘tuan’ seperti di dalam Al-Quran melalui surah Al-Nisaa’ ayat ke 64 yang dipercayai antara ciri-ciri doktrin dalam ajaran Millah Ibrahim @ Abraham di tempat persendirian.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sebat maksimum enam kali atau mana-mana kombinasi dua hukuman itu.

Wan Ramlah turut mengaku tidak bersalah memiliki buku, risalah atau dokumen yang mengandungi maklumat yang bertentangan dengan hukum syarak iaitu buku Al Kitab Berita Baik (Penerbitan Kristian) pada masa dan tempat yang sama.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 13(1)(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (akta 559) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, empat lagi tertuduh termasuk anak perempuan Wan Ramlah, Puteri Najlaa Jaafar,24, didakwa atas tuduhan bersubahat mengambil bahagian bersama Wan Ramlah dan Mohd Fazil di tempat dan masa yang sama.

Mereka ialah Syed Aiman Syed Ahmad Akmal, 20; Aizat Firdaus Azmi, 20; kedua-duanya pelajar; dan tukang masak, Muhammad Asyraf Ibrahim,30.

Bagaimanapun, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 43(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sebat tidak lebih enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman.

Selain itu, Aizat Firdaus didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki Al Kitab Berita Baik (Untuk agama Kristian) dan sesalinan buku Muka Ketat - evolusi daripada buku bintang dan didakwa mengikut Seksyen 13(1)(b) akta sama.

Sebelum ini, kelima-lima mereka pernah didakwa atas tuduhan mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain Islam dikenali sebagai Millah Ibrahim @Abraham, namun pertuduhan itu dipinda semalam oleh pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Zainor Rashid Hassin.

Pada prosiding semalam, Wan Ramlah, Puteri Najlaa dan Muhammad Asyraf diwakili peguam syarie Rifahmi Musikin selain Syed Aiman diwakili peguam syarie Mohd Tajuddin Abd Razak sementara Aizat Firdaus tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:33 AM