FOTO hiasan
FOTO hiasan
Oleh Mohd Zaky Zainuddin

FGV Holdings Bhd (FGV) mencatat keuntungan bersih RM76 juta pada suku keempat 2019, berbanding kerugian bersih RM209 juta pada suku sebelumnya, sekali gus keuntungan pertamanya sejak suku ketiga 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata prestasi kewangan positif diraih hasil peningkatan margin minyak sawit mentah (MSM) dan kos operasi berkurangan dengan ketara hasil kawalan ketat serta kecekapan lebih baik.

“Kedudukan kewangan lebih kukuh didorong prestasi operasi positif daripada sektor perladangan, pemulihan cukai dan pengurusan hutang lebih baik serta pelupusan aset,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media prestasi kewangan 2019 FGV di sini, semalam.

Selain merekodkan keuntungan pertamanya, FGV juga mencatatkan kerugian rosot nilai lebih rendah pada suku keempat berjumlah RM17 juta, berbanding RM151 juta pada sama tahun lalu.

Langkah rasionalisasi kos menyeluruh dan proses perolehan yang lebih baik turut menyaksikan FGV menjana penjimatan kira-kira RM170 juta tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan FGV pada suku keempat susut 2.4 peratus kepada RM3.15 bilion berbanding RM3.23 bilion pada suku terdahulu.

Bagi tahun kewangan 2019, FGV mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM242 juta, berbanding RM1.08 bilion pada 2018.

Pendapatannya tahun lalu susut sedikit kepada RM13.26 bilion daripada RM13.46 bilion tahun sebelumnya.

Sementara itu, Haris Fadzilah berkata, FGV merancang mempelbagaikan aliran pendapatan bagi meningkatkan perolehan dalam portfolio bukan sawit.

Katanya, ia dijangka memberi sumbangan pendapatan tambahan berjumlah RM45 juta bagi tahun kewangan 2020.

“Walaupun minyak kelapa sawit tetap menjadi perniagaan teras, kepelbagaian menarik dalam pertanian bersepadu, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perniagaan makanan haiwan ini akan membolehkan kami dan rakan pekebun kecil menambah pendapatan dan peluang berkembang maju,” katanya.

Baru-baru ini, FGV mengumumkan pemerolehan 60 peratus kepentingan dalam syarikat pengeluar tenusu, RedAgri Sdn Bhd.

FGV memiliki empat sektor dalam pertanian bersepadu.

Pertama, tanaman kontan membabitkan nenas dan pisang di atas tanah berkelusan 15,000 hektar di kawasan penanaman semula kelapa sawit.

Ia juga mempunyai penanaman padi berskala besar yang akan menyaksikan pelancaran beras SAJI pada suku kedua tahun ini.

FGV turut terbabit mengeluarkan makanan haiwan dan ternakan lembu tenusu dengan sasaran untuk memproses 20,000 liter susu segar sehari menjelang 2022.

Bagi perniagaan RE, Haris Fadzilah berkata, FGV menyasarkan portfolio perniagaan baharu syarikat itu dijangka menyumbang pendapatan tahunan sehingga RM300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengenai unjuran tahun ini, beliau berkata, FGV menjangkakan harga MSM berlegar dalam jajaran RM2,200 hingga RM2,400 satu tan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:00 AM