Kuala Lumpur: Golongan pembeli secara online di rantau Asia-Pasifik (APAC) didapati berasa sangat berat untuk membeli secara langsung daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kajian mengenai gelagat pengguna global ke atas e-dagang rentas sempadan yang dijalankan firma penyelidikan bebas Forrester Consulting dan ditauliahkan oleh FedEx Express mendapati 57 peratus responden APAC menarafkan pembelian langsung daripada PKS sebagai jenis perniagaan paling kurang digemari untuk beli-belah rentas sempadan, menarafkannya di bawah pasaran online pelbagai jenama, laman web jenama atau pengeluar.

“Daripada responden APAC yang menyatakan keraguan mengenai belian langsung daripada peruncit PKS online, 46 peratus menyatakan keengganan mereka berpunca daripada kesukaran dalam mengesahkan reputasi atau kebolehpercayaan pembeli, berbanding purata global hanya kira-kira 21 peratus yang berpendapat sedemikian,” kata FedEx dalam kenyataannya, baru-baru ini.

Keputusan kajian itu melengkapkan kajian lain mengenai landskap e-dagang semasa di Malaysia, ketika saiz pasaran e-dagang dijangka berkembang kepada 5.76 bilion pada 2015. Dianggarkan 40 peratus semua e-dagang Malaysia adalah rentas sempadan.

Kajian itu siap pada September tahun lalu dan membabitkan 9,006 pembeli dalam talian global di 17 negara dan rantau. Kajian itu turut menunjukkan keraguan mengenai penggunaan laman web peruncit online PKS tidak mengurangkan selera pengguna APAC untuk semua pembelian secara online rentas sempadan.

Malah, pengguna APAC membelanjakan purata hampir AS$350 setahun ke atas pembelian seumpama itu berbanding purata global sebanyak AS$300. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:10 AM