BANK Negara Malaysia.
BANK Negara Malaysia.

Kuala Lumpur: Pengguna serta peniaga di Malaysia dan Thailand boleh membuat atau menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata.

Ia susulan pelancaran jalinan pembayaran QR rentas sempadan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT).

Projek yang bermula pada Jun 2020 itu dijangka siap dalam tiga fasa, dengan fasa pertama berjaya disempurnakan semalam yang menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata RPP/DuitNow di Malaysia dan PromptPay di Thailand.

Di bawah fasa pertama, pengguna di Thailand kini boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod DuitNow QR2 bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Malaysia termasuk untuk transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.

Perkhidmatan itu dijangka memberikan manfaat kepada lebih ramai pengguna di kedua-dua negara apabila perjalanan antarabangsa dibenarkan semula.

Pengguna boleh membuat pembayaran dengan lebih selamat dan mudah menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka sebagai alternatif kepada bayaran tunai.

Di bawah fasa kedua, pengguna di Malaysia boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod Thai QR3 bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Thailand.

Fasa itu dijangka akan disempurnakan pada suku keempat tahun 2021 dan fasa terakhir jalinan itu akan diperluas untuk merangkumi kiriman wang rentas sempadan.

Pengguna di kedua-dua negara akan dapat membuat pindahan dana secara masa nyata dan mudah dengan merujuk nombor telefon mudah alih penerima, yang mana fungsi berkenaan dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2022.

Kerjasama itu adalah pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Payment Connectivity yang menggalakkan integrasi kewangan serantau melalui peningkatan kecekapan, pengurangan kos dan pengalaman pengguna yang bertambah baik bagi pembayaran rentas sempadan.

Jalinan pembayaran runcit akan berfungsi sebagai pendorong bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca pandemik dengan terus memperkukuh hubungan ekonomi antara negara yang mengambil bahagian.

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata jalinan pembayaran runcit akan meningkatkan kecekapan dan memudahkan lagi pembayaran rentas sempadan melalui penyediaan pengaturan pembayaran yang lebih pantas, lebih murah dan lebih inklusif kepada pengguna.

Beliau berkata, jalinan itu akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan peniaga bagi pembayaran rentas sempadan.

"Ia juga bertindak sebagai penggerak penting bagi memperkukuh kesalinghubungan dan integrasi kewangan serantau," katanya dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan BNM dan BOT.

Sementara itu, Timbalan Gabenor BOT, Ronadol Numnonda, berkata bank pusat itu mengakui kepentingan jalinan sistem pembayaran rentas sempadan dan telah berusaha secara berterusan untuk melaksanakan inisiatif seumpama itu.

Beliau berkata, kesalinghubungan itu berlandaskan pada infrastruktur pembayaran domestik akan memudahkan aktiviti pembayaran runcit rentas sempadan antara kedua-dua negara semasa dan pasca pandemik.

"Yang lebih penting, kesalinghubungan ini juga akan memudahkan perdagangan dan e-dagang rentas sempadan, lantas menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan usaha digitalisasi," katanya.

Bank CIMB Thai dan Public Bank Bhd adalah dua bank terawal yang menyertai jalinan itu serta sudah mula menawarkan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:00 AM