NUR Hidayu (kanan) bertarung dengan lawan. - FOTO Sadiq Sani
NUR Hidayu (kanan) bertarung dengan lawan. - FOTO Sadiq Sani
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Meskipun hamil lima bulan, wanita berusia 31 tahun ini tetap berhati kental menyertai pertandingan gusti lengan.

Keberanian luar biasa dimilikinya membuahkan hasil apabila memenangi tempat pertama pertandingan gusti lengan di Muzium Negara, baru-baru ini.

Kejayaannya lebih bermakna apabila menewaskan 'musuhnya' dalam sukan gusti lengan iaitu pemain gusti lengan wanita ketiga dunia.

Tetapi, aksi Nur Hidayu Nor Rongzi ketika bertarung dalam pertandingan itu membuatkan ramai penonton bimbang terhadap dirinya yang hamil.

Ini kerana pemain perlu menggunakan tenaga yang kuat untuk menahan tangan daripada ditumbangkan lawan.

Menurut Nur Hidayu, dia sudah beberapa kali menyertai pertandingan gusti lengan dalam keadaan mengandung.

"Namun, saya sentiasa berhati-hati sepanjang perjuangan itu dan memastikan ia tidak memberikan kesan terhadap kandungan.

"Ini kerana saya menggunakan banyak tenaga pada tangan, badan dan bukan perut," katanya.

Akuinya, kekuatan itu didorong kecintaannya yang mendalam terhadap sukan berkenaan yang diceburinya sejak 2015.

"Saya mula bertanding gusti lengan dalam pertandingan antara fakulti ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

"Saya menang dalam pertandingan itu dan kemudian aktif banyak pertandingan sekitar Selangor.

"Pada 2016, ada pemilihan pertandingan kebangsaan dan dinobatkan juara. Seterusnya layak ke pertandingan Asia, tetapi menang tempat kedua selepas tewas kepada pemain Jepun," katanya.

Ibu empat cahaya mata ini berkata, perjalanan sukan gusti tangannya terhenti sehingga 2020 kerana mendirikan rumah tangga, hamil dan pandemik Covid-19.

NUR Hidayu (dua dari kiri) bersama pemain gusti lengan wanita dalam pertandingan antarabangsa.
NUR Hidayu (dua dari kiri) bersama pemain gusti lengan wanita dalam pertandingan antarabangsa.

BERSAMA pemain gusti lengan Malaysia.
BERSAMA pemain gusti lengan Malaysia.

"Selepas agak lama 'bercuti', saya menjadi 'gian' untuk bertanding dan membuat kemunculan semula pada 2021 dengan menyertai pertandingan peringkat antarabangsa.

"Penyertaan pertandingan ini juga tindakan berani saya lakukan kerana baru hari ke-45 selepas pantang bersalin," katanya.

Nur Hidayu yang berada pada kedudukan keempat dunia ini berkata, jiwa kental dan keberaniannya dalam sukan itu menyebabkan dia digelar sebagai Ayu Gusti oleh rakan-rakannya.

"Saya tidak kisah dengan gelaran yang diberikan kerana ini membantu rakan atau kenalan baharu mudah mengingati saya.

"Pada masa sama, saya lasak sejak kecil dan sudah terbiasa melakukan kerja berat di kampung.

"Ini secara tidak langsung membantu membina kekuatan badan dan tangan yang diperlukan dalam sukan berkenaan," katanya.

Kata Nur Hidayu lagi, setakat ini dia sudah menyertai 50 pertandingan gusti lengan dan mahu menyertai lebih banyak pertandingan akan datang.

"Kepuasan saya dalam sukan ini apabila dapat menewaskan lawan dan ingin mencapai kedudukan dunia yang lebih baik.

"Selain itu, saya ingin memberi menasihati pendatang baharu wanita supaya jangan takut menceburi sukan gusti tangan.

"Sukan ini memerlukan lebih ramai wanita supaya pelbagai kategori pertandingan boleh diadakan," katanya.

Dalam pada itu katanya, dia turut menggalakkan anak-anaknya menceburi sukan berkenaan bagi mengikut jejak langkah mereka suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 7:03 AM