KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan sehingga 8 malam ini, berikutan peningkatan kenderaan yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Menurut jurucakap pusat trafik Lebuhraya PLUS, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di bahagian Selatan, dilaporkan bergerak perlahan di Skudai menghala ke Kulai dan dari Sedenak ke Simpang Renggam.

"Trafik bergerak perlahan sejak 9 pagi tadi dan rata-rata kenderaan adalah dari Singapura.

"Sementara di Plaza Tol Sungai Besi, trafik masih lancar dan terkawal. Di bahagian utara, trafik bergerak perlahan di laluan mendaki di Slim River menghala Sungkai dan di Tapah ke Gopeng sejak petang tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata di Lebuhraya Pantai Timur, trafik hanya dilaporkan bergerak perlahan di Jabor menghala ke Cheneh.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 10:26 PM