KEADAAN Plaza Tol Gombak mula sesak pada waktu petang setelah warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti hari raya untuk mula bekerja semula esok. FOTO Bernama
KEADAAN Plaza Tol Gombak mula sesak pada waktu petang setelah warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti hari raya untuk mula bekerja semula esok. FOTO Bernama

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan bergerak perlahan di beberapa tempat setakat 1 petang ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Expressways Bhd berkata, bagi arah utara, keadaan trafik dilaporkan perlahan dari Seberang Jaya ke Seberang Prai dan Tapah ke Bidor, selain sesak sepanjang satu kilometer di Plaza Tol Juru.

"Selain itu, trafik juga dilaporkan sedikit sesak di KM 340 di Bidor akibat kemalangan yang membabitkan kereta di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, trafik di arah Selatan juga dilaporkan perlahan dari Senawang ke Seremban ekoran pertambahan jumlah kenderaan.

Sementara itu, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur dilapor lancar walaupun jumlah kenderaan semakin meningkat.

"Aliran trafik menunjukkan peningkatan di Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Chenor tetapi masih bergerak lancar," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:56 PM