KENDERAAN dari arah Seberang Jaya menuju ke Juru dan Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Amir Irsyad Omar
KENDERAAN dari arah Seberang Jaya menuju ke Juru dan Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Amir Irsyad Omar
Oleh Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Aliran trafik di tiga lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan menghala ke ibu negara selepas orang ramai menghabiskan cuti sempena cuti perayaan Aidiladha.

Menurut jurucakap Pusat Trafik Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), sehingga 8 malam tadi, kenderaan meningkat di lebuh raya PLUS, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

"Di Lebuhraya KLK kesesakan dilaporkan bermula selepas Plaza Tol Bentong sehingga ke Plaza Tol Gombak manakala di LPT aliran trafik perlahan dari Hentian Lanchang hingga ke Plaza Tol Karak.

"Di lebuh raya PLUS arah utara, keadaan trafik sesak dari Juru sehingga ke Simpang Pulai manakala bagi laluan selatan, keadaan trafik perlahan dari Pedas Linggi menghala ke Seremban," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kesesakan itu akan berterusan sehingga tengah malam ini dan Pusat Trafik LLM akan melanjutkan operasinya sehingga 2 pagi.

"Pihak kami juga ingin mengingatkan semua pengguna lebuh raya supaya mengikuti peraturan dan tidak menggunakan lorong kecemasan kerana pihak polis sedang memantau dan mengambil tindakan saman," katanya.

Sementara itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com /plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 8:33 PM