TIGA set menu berlainan yang disediakan untuk sambutan musim perayaan.
TIGA set menu berlainan yang disediakan untuk sambutan musim perayaan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Meraikan musim perayaan bersama keluarga dan sahabat handai tidak bermakna tanpa hidangan istimewa. Bagi yang masih belum membuat perancangan, bolehlah mengajak keluarga merasai keenakan sajian Tahun Baru Cina di Hotel Maya Kuala Lumpur.

Di sini, pengunjung boleh menikmati set menu makan tengah hari atau malam. Set makan malam boleh dipilih mengikut menu disediakan iaitu gabungan pengaruh hidangan Jepun dan Kantonis.

Tiga set menu akan dipersembahkan bermula daripada pembuka selera, hidangan utama dan diakhiri dengan pencuci mulut. Set menu untuk sambutan perayaan tahun ini dilengkapi dengan abalone panggang bersama makanan laut dan alga merah (sea moss atau lebih dikenali sebagai Irish moss).

Selain itu, terdapat juga hidangan lain yang enak seperti ikan dan ayam. Antaranya, Fortune Golden Crispy Chicken dan ikan makerel yang dihidang bersama miso halia (sejenis mee Jepun) serta brokoli saute.

Untuk sajian pencuci mulut, bolehlah mencuba hidangan yang dibuat daripada tepung pulut iaitu nian gao bijan yang enak dinikmati bersama keledek manis dan teh halia.

Mengikut kepercayaan kaum Cina, pencuci mulut berkenaan perlu dinikmati kerana ia mempu­nyai nilai simbolik tersendiri iaitu kekayaan dan kemakmuran.

Promosi bermula dari 4 Februari hingga 5 Mac 2015. Sempena musim perayaan itu, restoran berkenaan akan dibuka setiap hari (kecuali 19 Februari) untuk makan tengah hari (dari jam 12 tengah hari hingga 2.30 petang) dan makan malam (jam 6.30 petang hingga 10.30 malam).

Restoran yang terletak di tingkat sama dengan pintu masuk utama hotel itu mampu memuatkan sehingga 62 orang dalam satu masa.

Sementara itu, bagi pengunjung yang ingin membawa pulang hidangan yee sang untuk meraikan kegembiraan bersama keluarga di rumah, Restoran Maya Brasserie ada menyediakannya.

Namun, bagi anda yang mahu merasai keenakan hidangan asli masakan Kantonis di restoran berkenaan, terdapat juga sajian yang disediakan secara bufet untuk seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 12:59 PM