MOHD Nor Farhan Muhamad (kanan) bersama Carrillo selepas  selesai  latihan, semalam.
MOHD Nor Farhan Muhamad (kanan) bersama Carrillo selepas selesai latihan, semalam.
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Kesukaran berkomunikasi penyerang import terbaru Kelantan, Erwin Carrillo dengan pasukannya menyebabkan pemain itu mungkin terpaksa mengikuti kelas bahasa Inggeris dan Melayu dalam tempoh terdekat bagi membolehkannya mempelajari kedua-dua bahasa itu.

Walaupun tampil selaku penjaring terbanyak Liga Amerika Latin dengan 29 gol musim lalu, pemain kelab Union Magdalena berusia 31 tahun itu sebenarnya berdepan masalah komunikasi apabila dia langsung tidak berupaya berbahasa Inggeris.

Pemain berasal dari Colombia itu hanya boleh berinteraksi dalam bahasa Sepanyol saja hingga menyukarkan Carrillo berkomunikasi dengan jurulatih serta rakan sepasukannya.

Situasi itu jelas mengundang keresahan kem The Red Warriors (TRW) terutama ketua jurulatih Kelantan, George Boateng serta pembantunya lain, Hashim Mustapha, Mohd Sidek Samsudin dan Mohd Nafuzi Zain kerana sering berdepan kesukaran setiap kali mereka turun berlatih.

Boateng berkata, pihaknya mengakui masalah bahasa menyukarkannya untuk berkomunikasi dengan pemain itu ketika mengendalikan sesi latihan dan perlawanan membabitkan pasukannya.

Katanya, Carrillo hanya boleh bercakap bahasa Sepanyol saja serta hanya mampu memahami sedikit bahasa Inggeris.

“Saya dan rakan terpaksa sebut sepatah-sepatah perkataan Inggeris kepadanya supaya faham setiap arahan kami.

“Bagi mengelakkan masalah itu berlanjutan, saya sudah arahkan Carrillo supaya segera menduduki kelas bahasa termasuk mencari guru bahasa Inggeris dan Melayu dalam masa terdekat kerana itulah jalan terbaik untuknya,” katanya.

Namun Boateng menjelaskan, mereka bernasib baik berpeluang menggunakan khidmat ejen pemain itu, Marcello Houseman yang masih berada di Kota Bharu bagi tempoh lima bulan sebagai penterjemah bahasa kepada Carrillo.

Selain Carrillo, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) turut mengikat tiga lagi pemain import baru iaitu bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan Australia, Jonathan McKain, Isaac Pupo (Liberia) dan Emmanuel Kenmogne (Cameroon).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:18 AM