Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Selepas berjaya melengkapkan pasukan dengan barisan pemain import serta tempatan yang dihajatkan, Terengganu pastinya tidak lagi boleh mencipta alasan andai tidak berupaya memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Jika mahu dibandingkan, barisan pemain import serta tempatan dimiliki skuad Penyu musim ini jauh lebih baik berbanding musim lalu.

Hakikat itu diakui Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (PETEH) dan mereka menyifatkan skuad Penyu sudah berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan sama ada Liga Super, Piala FA atau Piala Malaysia.

Setiausaha PETEH Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, sekiranya mahu membuat perbandingan barisan pemain tempatan dan import dalam pasukan pada tahun ini, ia jauh lebih mantap berbanding musim lalu.

“Kami dapati punca utama kegagalan pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim musim lalu disebabkan tiada sumbangan diberikan pemain asing terutama dua bekas penyerang import, Javier Estupinan dan Mustapha Dabo.

“Kalau kita lihat barisan pemain sedia ada, tidak ada sebab pasukan Terengganu gagal menjulang piala dipertandingkan dalam Liga-M.

“Kelemahan Terengganu pada musim lalu kerana pemain import sekadar menjadi penumpang dalam pasukan dan kita lebih banyak bergantung kepada tenaga pemain tempatan.

“Kita juga dapati, masalah besar yang menyebabkan pasukan ini kurang menyerlah ialah apabila dua penyerang import, Estupinan dan Dabo gagal menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Wan Mohd Azmi berkata, kehadiran penjaring terbanyak musim lalu, Paulo Rangel selain Gustavo Lopez dan Hassan Moni Chaito diharap dapat membawa kejayaan buat Penyu musim ini.

“Penyokong kini berharap pemain dapat mengambil kesempatan atas kelebihan dan sentuhan berbisa yang dimiliki Rangel untuk mencipta jaringan buat pasukan.

“Kami lihat barisan pemain musim ini berada pada landasan tepat dalam usaha merangkul piala. Penyokong sentiasa berada di belakang pasukan dan setakat ini sokongan yang diberikan tidak berbelah bagi,” katanya.

Sementara itu, Wan Mohd Azmi berkata, pihaknya kini membuka keahlian dan mana-mana penyokong yang mahu menyertai PETEH boleh mendaftar dengan bayaran pendaftaran RM70 manakala mereka yang mahu menyambung keahlian dikenakan bayaran RM60.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:23 AM