Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tiada halangan atau sekatan dilaksanakan Majlis Sukan Negara (MSN) terhadap mana-mana individu yang ingin menjadi jurulatih dalam usaha memajukan sukan negara.

Ketua Pengarah Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, MSN mengamalkan dasar terbuka kepada semua pihak dan tiada syarat spesifik ditetapkan kepada mana-mana pihak yang berminat menyertai MSN sebagai jurulatih.

Namun beliau menegaskan terdapat beberapa kriteria asas antaranya mempunyai program khas atau program sains sukan.

Beliau mengulas laporan Arena mengenai permohonan Rosman Alwi yang ditolak badan induk itu beberapa kali biarpun bekas jaguh basikal negara itu mempunyai kelayakan.

“Selain kriteria, kita juga mengambil kira pengalaman pemohon itu sebagai pelumba dan jurulatih. Itu jugalah digunakan MSN dalam melantik jurulatih tempatan atau luar.

“Kita akan mempertimbangkan permohonan Rosman jika dia memohon lagi selepas ini,” katanya yang tidak menafikan kemampuan bekas pelumba Olimpik negara itu membimbing skuad SUKMA Kedah selain pernah menjadi jurulatih pelapis di MSN.

Shapawi yang ditemui selepas memperkenalkan Model Sukan Baru oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam turut berpendapat pandangan persatuan perlu diambil kira sebelum pemilihan jurulatih dibuat.

Beliau juga menangkis dakwaan pihak tertentu yang mengatakan MSN hanya memilih jurulatih berdasarkan kelayakan atas kertas sahaja dan tidak mempunyai pengalaman mengilap kejayaan atlet.

“Jika benar, kemukakan bukti kerana kita mengalu-alukan pandangan seperti itu, setakat ini kita mempunyai penilaian sendiri termasuk mengambil kira pandangan altet dan persatuan,” katanya.

Sementara itu, Khairy meminta agar Shapawi menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut PKBM bersama ketua jurulatih John Beasley secara tertutup dan diselesaikan di peringkat dalaman terlebih dahulu.

Kedua-dua pihak perlu memberi tumpuan sepenuhnya menjelang dua kejohanan penting iaitu Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Thailand dan Kejohanan Trek Dunia UCI di Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:36 AM