KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Hasriyasyah Sabudin
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Aida Adilah Mat


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengakui terlewat untuk membuat pembayaran terhadap beberapa individu yang layak menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) tahun lalu termasuk bekas ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang.

Bagaimanapun Shapawi berjanji untuk menyelesaikan isu pembayaran itu secepat mungkin sejurus mendapat peruntukan.

“Kelewatan itu kerana sumber peruntukan agak terhad tahun lalu berikutan penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2017.

“Bagaimanapun majlis akan tetap menunaikan komitmen itu dan akan diselesaikan selepas mendapat peruntukan yang dijanjikan kepada MSN sebelum ini,” katanya yang sudah memaklumkan kepada Zhuliang berhubung pemberian insentif itu sebelum beliau menamatkan kontrak di negara ini.

Shapawi turut memaklumkan hanya sebahagian sukan saja yang masih belum mendapat bayaran SHAKAM dengan sebahagiannya seperti Sukan SEA sudah diselesaikan.

“Memang kebiasaannya kita memberi agak lewat daripada pertandingan sebenar kerana ini hadiah kemenangan dan bukan hadiah pertandingan. Ini yang perlu difahami oleh semua pihak,” katanya.

Menerusi SHAKAM, atlet yang berjaya meraih emas Kejohanan Dunia akan mendapat RM80,000 untuk emas, RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa) manakala jurulatih terbabit mendapat 20 peratus dari nilai hadiah.

Shapawi pada sidang media itu turut memaklumkan MSN kini sedang berusaha untuk mencari dana penajaan khususnya dari syarikat swasta dalam usaha membantu kerajaan.

Ia bukan satu perkara baru dan pernah dilaksanakan pada 1994 yang mana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan Rakan Sukan membabitkan 28 syarikat swasta menaja 27 jenis sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 5:00 PM