Kuala Lumpur: Pintu masih terbuka buat Rashid Sidek menjadi jurulatih apabila ditawarkan bekerja di bawah program pembangunan naungan Majlis Sukan Negara (MSN) meskipun difahamkan bekas ketua jurulatih perseorangan itu sudah mendapat tawaran membimbing kelab swasta selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) berkata, beliau sendiri pernah memaklumkan perkara itu kepada Rashid sekiranya bekas pemain perseorangan negara itu tidak mahu terus bersama BAM.

“Saya difahamkan dia menerima tawaran daripada sebuah kelab swasta.

“Perbincangan terakhir saya dengan Rashid sebelum ini ialah sekiranya tidak mahu terus bersama BAM, dia boleh ditempatkan dalam MSN bagi membangunkan program pembangunan di peringkat remaja dan akar umbi.

“Tapi sekiranya sudah buat keputusan untuk menyertai kelab swasta, maka tidak ada apa-apa yang kami boleh buat kerana itu keputusan Rashid,” katanya pada sidang media selepas hadir menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kakitangan kementeriannya semalam.

Difahamkan kelab Sports Affairs yang akan disertai Rashid itu turut mempunyai bekas pemain BAM Mohd Arif Abdul Latif.

Jelas Khairy, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail supaya mengadakan perbincangan dengan Rashid.

“Saya akan tunggu apa maklum balas Rashid kepada Shapawi. Kalau dia nak bersama MSN, ruang itu masih ada.

“Tapi kalau sudah buat keputusan untuk bersama kelab baru, maka selamat maju jaya kepadanya,” katanya.

Khairy berkata, sekiranya Rashid mahu membawa seorang lagi bekas jurulatih BAM Rosman Razak yang turut mengikut jejak langkahnya meninggalkan badan induk itu, ia boleh dipertimbangkan.

“Kalau dia rasa pakej (tawaran) perlu membabitkan Rosman, kami akan buat penilaian.

“Kami masih terbuka kerana bagi saya di mana saja Rashid dan juga Rosman berada, mereka boleh memberikan sumbangan besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:06 AM