Oleh Azlan Muhammad Zain

Gwangju, Korea Selatan: Pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) minggu depan bagi menentukan hala tujunya bersama badan induk itu.

Kim Swee mempunyai kontrak sehingga Disember namun ‘tugasnya’ berakhir selepas tamatnya saingan Sukan SEA Singapura dan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di sini.

Mesyuarat exco FAM beberapa hari lalu gagal memberikan kata putus mengenai kedudukan Kim Swee selain Dollah Salleh (ketua jurulatih senior) dan Mohd Razip Ismail (Harimau Muda B) dengan sebaliknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menilai ketiga-tiga jurulatih berkenaan.

“Saya akan berjumpa pihak pengurusan selepas sambutan hari raya bagi menentukan hala tuju saya. Saya perlu menghormati kontrak yang berakhir Disember sebelum membuat keputusan.

“Perkara yang menjadi keutamaan adalah apa yang saya mahu lakukan dan apa yang pengurusan mahukan, terpulang kepada perbincangan dengan FAM nanti.

“Saya perlukan kata putus sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum kontrak berakhir,” katanya yang membawa skuad negara memenangi emas Sukan SEA 2011 dan Pestabola Merdeka 2013.

Kim Swee tidak mempunyai sebarang kejohanan untuk disertai sehingga Disember dan lebih memeningkan tidak mempunyai pasukan sendiri selepas Harimau Muda A dibubarkan FAM pada awal tahun.

Khidmat dan pengalaman yang dimilikinya pastinya ditagih beberapa pasukan tempatan seandainya Kim Swee dan FAM mencapai persetujuan bersama untuk ‘berpisah’.

Mengenai penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Presiden FAM Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, Kim Swee berkata, beliau percaya ramai pakar akan dilantik menganggotainya.

“Mereka harus membuat keputusan sebaik mungkin dan saya percaya ramai ada kepakaran. Jadi buat buat keputusan demi kebaikan bola sepak negara,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:02 AM