Kuala Lumpur: Spark Architects (Spark), studio reka bentuk antarabangsa yang memiliki kepakaran dalam seni bina, reka bentuk bandar, seni bina landskap dan hiasan dalaman, mengumumkan dua projek seni bina terbarunya di Malaysia bersempena Pameran dan Persidangan Cityscape, baru-baru ini.

Dua projek yang bakal dijalankan melalui kerjasama pemaju Nusmetro itu Arte S membabitkan pembinaan menara kediaman tertinggi merangkumi 400 unit di Bukit Gambir, Pulau Pinang yang kini dalam pembinaan serta Arte MK terdiri daripada tiga menara merangkumi 1,110 unit kediaman di Mont Kiara dan KL Dutamas yang masih dalam fasa perancangan.

Pengarah Pengasasnya, Stephen Pimbley berkata, Malaysia menawarkan landskap menarik bagi pemaju dan arkitek di mana inovasi seni bina giat direalisasikan pemaju seperti Nusmetro yang berusaha membezakan produk mereka bertujuan menarik pembeli mengatasi aspek utama seperti saiz, tempoh dan lokasi.

“Pemaju yang celik mengenai perkara ini akan fokus kepada reka bentuk seni bina kualitatif sebagai kelebihan daya saing dalam peningkatan kemudahan dan pasaran hartanah yang kian mencabar. Situasi ini adalah perkara positif bagi kami untuk menyumbang kepada standard tinggi dalam membina persekitaran dan bersaing dengan negara lain,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Ketua Nusmetro, Thomas Chan berkata, portfolio Spark jelas menunjukkan mereka memiliki misi dan nilai reka bentuk yang diperlukan syarikat untuk mewujudkan bangunan mesra alam tersendiri bagi menunjukkan kelebihan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Paling menarik kejayaan Spark menerima anugerah bagi kerja reka bentuk di Starhill Gallery Kuala Lumpur dan projek terkini mereka yang baru melengkapkan pembukaan iKON Connaught dan One Mont Kiara. Bagaimanapun, kerja merekabentuk Terminal Cruise Antarabangsa Shanghai amat menarik minat kami dan ia bakal dialami melalui projek pembinaan Arte S dalam tempoh 18 bulan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:23 AM