DR Osman (tiga dari kanan) bersama barisan ahli jawatankuasa ILAM.
DR Osman (tiga dari kanan) bersama barisan ahli jawatankuasa ILAM.

Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) sekali lagi memeriahkan industri seni bina landskap dengan penganjuran anugerah tahunan Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) buat kali ke-9.

Anugerah yang mengiktiraf projek terbaik dan cemerlang di Malaysia dan antarabangsa itu bakal diadakan pada 22 April ini bertempat di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Menariknya, penganugerah tahun ini memperlihatkan tiga kategori baru iaitu Anugerah Produk Mesra Alam (Green Product), Anugerah Pelan Induk Landskap di bawah Pemaju dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Anugerah Media.

Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir berkata, tahun ini menunjukkan penambahan penyertaan sebanyak 145 yang diterima dari Malaysia, Singapura, Taiwan, Sri Lanka dan Bahrain. Sebanyak 62 anugerah bakal disampaikan di bawah lapan kategori.

“Penyertaan yang diterima pada tahun ini bakal bersaing untuk lapan kategori termasuk kategori Profesional (Reka Bentuk landskap, Penyelidikan dan Analisis Landskap, Arkitek Landskap Muda dengan profesional dengan pengalaman kurang dari 10 tahun), Kontraktor Landskap, Pemaju dan GLC, dan Penyelidik.

“Kategori Kerajaan terdiri daripada Anugerah Inisiatif Hijau dan kategori pelajar pula dianugerahkan bagi reka bentuk terbaik.

“Semua penerima anugerah kecemerlangan pula bakal bersaing untuk anugerah paling berprestij iaitu Projek Tahunan (Project of The Year). Anugerah lain termasuk Anuegrah Cemerlang, Anugerah Kepujian dan Anugerah Merit,” katanya.

Menurut Dr Osman, MLAA adalah peneraju untuk trend terkini dalam seni bina landskap dan secara tidak langsung membentuk identiti landskap negara.

Pada majlls penganugerah itu juga ILAM bakal memperkenalkan inisiatif baru iaitu Landscape Architecture Agenda 2050 (LAA2050) yang menggariskan pelan tindakan untuk 30 tahun akan datang bagi industri berkenaan.

ILAM juga bakal mengeluarkan Buku Tahunan MLAA 2016 yang memaparkan himpunan peserta rasmi anugerah berkenaan.

Buku berkenaan turut memaparkan beberapa rekaan yang menarik, inovatif dan menonjol yang pernah dilihat di rantau ini.

Majlis yang diadakan serentak dengan malam gala ILAM itu adalah sebahagian aktiviti yang diadakan sempena bulan Seni Bina Landskap Sedunia yang dirai setiap April.

Sepanjang bulan itu, pelbagai usaha dan program seperti seminar, persidangan serta kempen kesedaran awam turut dijalankan bertujuan memperkenalkan kerjaya dan bidang arkitek landskap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 10:42 AM