Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mendapat pengiktirafan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila berjaya menganjurkan perlawanan kelayakan pertama Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015 dengan lancar.

Penolong Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John yang ditemui selepas tamat perlawanan antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Bengaluru FC di Stadium Larkin, kelmarin, berkata beliau amat puas hati dengan cara penganjuran perlawanan itu.

Katanya, komitmen ditunjukkan PBNJ amat baik apabila memastikan kelancaran perlawanan itu malah kewujudan marsyal jelas membantu menjaga keselamatan penyokong.

“Saya puas hati dengan persiapan walaupun pertama kali menganjurkan perlawanan peringkat Asia, tapi mereka menunjukkan komitmen tinggi.

“Kemudahan stadium juga amat baik dan segala persiapan membanggakan malah penyokong yang hadir juga berdisiplin selain konsep mewujudkan marsyal turut memainkan peranan menjaga keselamatan penyokong dan harus diteruskan,” kata Windsor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 10:11 AM