Kuala Lumpur: Satu penghormatan. Pemain golf negara, Arie Irawan Ahmad Fauzi (gambar) tidak sabar beraksi buat kali pertama di kejohanan Klasik CIMB di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) bermula hari ini.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia bangga kerana ini kali pertama tiga pemain dari Malaysia beraksi di kejohanan itu dan sedikit terkejut apabila namanya disenaraikan pada saat akhir.

“Ini kali pertama saya beraksi di kejohanan ini. Menjadi pemain ketiga selepas Danny Chia dan Ben Leong adalah satu penghormatan. Ini kejohanan hebat dalam Jelajah PGA,” katanya.

Arie yang juga pemain kelahiran Selangor dipilih pada saat akhir selaku pemain terbaik negara (ranking kedua) selepas Danny layak secara automatik berdasarkan kedudukannya dalam Order of Merit Jelajah Asia.

“Memang saya sedikit terkejut, namun Danny sudah mempamerkan permainan mantap di Jelajah Asia termasuk muncul juara Masters Taiwan baru-baru ini. Jadi dia layak berdasarkan kedudukan ranking Jelajah Asia.

“Sebelum ini saya sudah bersedia beraksi di kejohanan lain di India. Bagaimanapun, pada saat akhir saya mendapat peluang terbaik ini,” katanya yang pernah muncul juara sebanyak dua kali di Jelajah Pembangunan Asia tahun ini.

Menurutnya, dia menjangkakan mendapat pengalaman sangat bermakna sepanjang minggu ini terutama sekali apabila beraksi bersama beberapa pemain hebat dunia seperti Adam Scott, Luke Donald, Ernie Els dan Sergio Garcia.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan ini, cuma mahu menikmati permainan sebaiknya dan bergembira sepanjang kejohanan. Jika meletakkan sebarang sasaran ia agak sukar terutama sekali dalam sukan golf.

“Paling penting, menimba pengalaman dan belajar daripada pemain hebat. Saya juga sudah pernah bermain di sini (KLGCC) dalam kejohanan besar seperti Terbuka Malaysia, jadi saya rasa keadaannya sama cuma kejohanan saja berbeza,” katanya yang menjadi pemain profesional pada 2013.

Klasik CIMB yang memasuki tahun keenam akan bermula hari ini dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$7 juta (RM29.8 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:23 AM