PEMAIN golf profesional dunia membuat persediaan di KLGCC yang hari ini.
PEMAIN golf profesional dunia membuat persediaan di KLGCC yang hari ini.
Oleh Ferzalie Fauzi

Kuala Lumpur: Penyandang juara Ryan Moore tidak meletakkan sebarang sasaran khusus kecuali bermain dengan lebih santai apabila Kejohanan Klasik CIMB di Kuala Lumpur Golf & Counrty Club (KLGCC) bermula hari ini.

Pemain berusia 32 tahun itu yang sudah memenangi empat kejuaraan Jelajah PGA berkata, dia sentiasa ternanti-nanti untuk beraksi di Klasik CIMB tahun ini terutama selepas muncul juara tahun lalu.

“Memang seronok apabila datang ke sini, ini kunjungan yang sentiasa saya nantikan. Sukar untuk menerangkan bagaimana saya muncul juara di sini atau mengulas mengenai lapangan ini (KLGCC),” katanya pada sidang media semalam.

Moore yang turut muncul juara edisi 2013, mengakui kejayaan diraih dua tahun berturut-turut memberi kesedaran kepadanya mengenai kepentingan Klasik CIMB.

“Saya rasa memang setiap tahun ramai yang akan bercakap mengenai ramalan, jadi ia bukan sesuatu mengejutkan, termasuk mengenai peluang saya untuk muncul juara kali ketiga berturut-turut.

“Bagi saya, tiada tekanan di sini kerana sudah memenanginya dua tahun berturut-turut.

“Tidak ada apa yang mahu saya buktikan tapi sudah tentu apabila menyertai kejohanan matlamat utama ialah kemenangan dan bermain dengan baik, begitu juga saya. Saya tidak berasa hebat apabila muncul juara tahun lalu dan kali ini saya datang untuk bermain dengan baik,” kata Moore.

Sementara itu, bekas pemain nombor satu dunia, Adam Scott berkata, dia tidak sabar untuk turun beraksi di KLGCC yang bakal menandakan kehadiran sulungnya di negara ini.

“Lapangan ini sangat cantik dan berada pada tahap terbaik. Sedikit basah disebabkan hujan namun tidak akan mempengaruhi permainan kami. Bagaimanapun, permukaan di sini sangat cantik dan saya pasti mampu mencatat keputusan terbaik.

“Ini minggu terbaik untuk membuat pukulan putt dengan baik serta mencatatkan banyak birdie,” kata pemain berusia 35 tahun dari Australia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:23 AM