MAZDA Capella RX2 berusia lebih empat dekad.
MAZDA Capella RX2 berusia lebih empat dekad.
Oleh Erywan Norshal


Mazda Capella RX2 dalam rua­ngan Modifikasi ini boleh dikatakan sudah menjangkau umur empat dekad, namun keadaan fizikalnya masih lagi cantik dengan kombinasi enjin yang cukup berkuasa.

Ubah suai jentera itu bukan­nya mudah kerana pemiliknya, Neil Naveen, 38, terpaksa 'membogel­kan' kerangka untuk melakukan proses kimpalan dan mengecatnya.

Hampir setahun Mazda Capella RX2 itu berada di bengkel semata-mata membaiki kerangka, selain menunggu alat ganti yang dibeli di luar negara seperti Australia dan Amerika Syarikat.

Menariknya kereta itu, menggunakan semua alat ganti asli bagi setiap komponen luarannya membabitkan lampu hadapan, belakang, jeriji dan bampar.

Selain mahu kelihatan sporty,­ jentera berkenaan dipadankan dengan rim Long Champ bersaiz 14 inci yang direndahkan meng­gunakan suspensi boleh laras.

Ruang dalaman diceriakan dengan membalut semula komponen asal menggunakan material berwarna krim.

Bagi memberi sedikit keunikan, jentera itu dipadankan papan pemuka Mazda Capella RX2 keluaran keempat.

Di bawah bonet hadapannya, nadi yang digunakan adalah enjin rotary berkapasiti 1.3 liter dan sudah ditingkatkan prestasinya.

Enjin itu sudah pun ditala untuk pemanduan yang agresif dengan gabungan barangan prestasi membabitkan karburetor Weber 48 IDA dan pam bahan api Holley.

Sistem transmisinya pula dipadankan Mazda RX3 lima kelajuan manual serta ditingkatkan lagi ­dengan klac ­kepingan berkembar OS Giken.

Biarpun sudah berumur, kehebatannya tidak boleh diduga kerana ia mampu memecut melebihi 200 kilometer sejam (km/j) dalam masa yang singkat.

Ternyata usaha dilakukan itu sangat berbaloi untuk dijadikan koleksi peribadi selepas melaburkan lebih RM40,000 untuk membaik pulih jentera berkenaan.

Difahamkan, jentera ­berkenaan boleh dianggap unik ­kerana ­kurang 50 unit kenderaan ­jenama itu yang masih lagi boleh dipandu di jalan raya di negara ini.

SPESIFIKASI:

KOS:

-RM40,000

UBAH SUAI LUARAN:

-Lampu hadapan dan belakang Mazda Capella RX2.

-Jeriji Mazda Capella RX2.

-Lampu sisi Mazda Capella RX2 yang dibeli di luar negara.

UBAH SUAI DALAMAN:

-Dibalut dengan menggunakan material berwarna krim.

-Papan pemuka Mazda Capella RX2 keluaran keempat.

UBAH SUAI ENJIN:

-Enjin Rotary 1.3 liter.

-Karburetor Weber.

-Pengatur bahan api perlumbaan Holley.

-Pam bahan api Holley.

-Klac kepingan berkembar OS Giken.

-Kotak gear Mazda RX3 lima kelajuan manual.

RIM:

-Longchamp 14 inci.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 6:02 AM