TOYOTA Chaser.
TOYOTA Chaser.
Oleh Erywan Norshal


Jika dilihat secara luarannya, mungkin ia tampak biasa kerana tidak ada ubah suai ekstrem bagi Toyota Chaser, kereta sedan buatan Jepun yang jarang ditemui di negara ini.

Pemiliknya, Mohd Zulzamir Rushani, 25, dari Batu Pahat, Johor membiarkan komponen asal memeriahkan jentera yang dibelinya tahun lalu di Sarawak pada harga RM15,000.

Cuma kit badannya berkonsepkan 'Big Win' yang digunakan pada bahagian bampar depan, belakang dan sisi untuk membuatkan jentera berkenaan tampak sedikit lebar.

Ia turut direndahkan dengan menerima suspensi boleh laras daripada dua jenama berbeza iaitu Tien HE dan Cusco, selain menggunakan rim Rota bersaiz 18 inci dengan jejari besar.

Yang menarik dengan kereta itu ialah enjin di bawah bonet depannya yang kelihatan padat dengan enjin bersesaran 2.5 liter turbo.

Enjin diesel asal yang digunakan sebelum ini ditukar kepada rangkaian kuasa Toyota Cressida iaitu 1JZ-GTE VVTi dan dikatakan mampu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 400 kuasa kuda (hp).

Prestasi enjin itu ditingkatkan dengan melakukan beberapa ubah suai lain membabitkan penukaran sistem turbo, ekzos, 'waste gate' bagi memberi kelancaran dan menambah kelajuannya.

Sistem transmisi kelajuan manual pula menggunakan komponen daripada Toyota Soarer, manakala enjin disejukkan oleh radiator aluminium jenama Blitz.

Mohd Zulzamir berkata, dia mengeluarkan belanja hampir RM45,000 untuk mengubah suai jentera itu dan 60 peratus daripada jumlah itu tertumpu kepada modifikasi enjin.

Menurutnya, sepanjang meng­gunakan jentera itu sejak tahun lalu, ia tidak pernah meragam dan boleh dipandu bersama keluarga dalam perjalanan jauh ke Kuala Lumpur atau Melaka.

Katanya, jentera itu dianggap unik kerana ia sukar diperoleh berikutan hanya ada beberapa unit di negara ini.

SPESIFIKASI:

Ubah suai luaran:

-Kit badan berkonsep 'Big Win'

-Perumah lampu depan dan belakang Toyota Chaser generasi terbaru

Ubah suai dalaman:

-Papan pemuka asal Toyota Chaser

-Kerusi separuh bucket Bridge Brix

-Tombol gear TRD

-Empat meter di papan pemuka

Ubah suai enjin:

-1JZ-GTE VVTi bersesaran 2.5 liter

-Sistem turbo asal ditingkatkan

-Hos silikon Samco

-Radiator aluminium Blitz

-Kotak gear Toyota Soarer

-Sistem ekzos yang ditingkatkan

-Wastegate

-Sistem 'Banana'

Rim:

-Rota 18 inci dengan 10jj

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:00 AM