Surabaya: Sepuluh mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dilaporkan tiba di Surabaya lewat petang semalam. Tiga daripada mayat terbabit sudah dikenal pasti.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Jawa Timur, Awi Setiyono berkata, mayat dari Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah itu kini berada di Hospital Bhayangkara.

“Sebaik tiba, semua mayat dilabel dan dimasukkan ke peti penyejuk dan proses seterusnya diselaraskan hari ini,” katanya.

Terdahulu, Awi menjelaskan bahawa Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Jawa Timur berjaya mengenal pasti tiga mayat nahas QZ8501.

“Label B049 dikenal pasti sebagai Naura Kanita Rosada Suseno (9) dari Surabaya, B050 adalah Susiah (40) dari Kediri dan B051 dikenali sebagai Susilo Utomo (46) dari Surabaya.

“Selain padanan DNA, identiti ketiga-tiga mayat diperkukuh dengan data rakaman CCTV lapangan terbang serta pakaian mangsa,” jelasnya.- Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:11 PM