Surabaya : Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polda Jawa Timur sudah mengumpulkan data mayat untuk pengecaman 161 penumpang dan kru AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas Ahad lalu.

Bagaimanapun, hanya satu lagi data yang belum dapat dikumpul sehingga kini iaitu data pembantu juruterbang pesawat berkenaan, Remi Emmanuel Plesel, seorang warga Perancis.

Ketua Bidang Perhubungan Masyarakat Polda Jatim, Kombes Awi Setiyono berkata, belum ada data milik Remi yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Perancis.

Bagaimanapun, katanya, data berkenaan dipercayai akan diperoleh dalam masa beberapa hari lagi.

Remi merupakan satu daripada tujuh warga asing yang berada dalam pesawat berkenaan dan enam lagi masing-masing tiga warga Korea Selatan, satu warga Malaysia, satu warga Singapura, dan satu warga British.

Selain itu, pihak konsulat Filipina sudah menyerahkan data penumpang warga Indonesia Jasmine Santiago, 15, yang menaiki pesawat itu bersama ayahnya warga Filipina Alejandro Santiago, 50, dan ibunya Romlah Santiago, 50, dari Indonesia. - Metrotvnews

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 2:44 PM