FOTO ihsan PPM
FOTO ihsan PPM
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas pelbagai jenis produk jamu, ubat-ubatan dan kosmetik bernilai RM18,360 selepas menahan sebuah bot di Perairan Bagan Hailam berhampiran Pelabuhan Klang pada jam 11.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu bot peronda PPM RH10 yang terbabit dalam Operasi Pensura menahan dan memeriksa sebuah bot yang dalam perjalanan ke Jeti Asa Niaga Pelabuhan Klang.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pemeriksaan mendapati beberapa produk jamu, ubatan dan kosmetik tidak mempunyai sebarang dokumen pengesahan daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas ialah Bodrex, Kenis, Jamu Dami Sariwana, Jamu Sepet Wangi, Sendi, PO Powder, Sakatonik Liver, Supravit dan Perawan Khusus Wanita.

"Semua barangan ini dirampas dan diserahkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM Selangor untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Jualan Dadah, 1952 dan Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 2:33 PM