Tokyo: Jepun berusaha keras membebaskan dua warganya yang menjadi tebusan Negara Islam (IS) dan diancam dibunuh dalam tempoh 72 jam, kata Perdana Menteri Shinzo Abe.

Beliau juga menegaskan pihaknya tidak akan tunduk kepada pengganas.

Abe pulang ke Tokyo selepas lawatan enam hari ke Asia Barat lebih awal daripada dijadualkan dan mengadakan mesyuarat Kabinet sejurus tiba.

“Masa semakin suntuk dan kami melakukan apa saja selain menggunakan setiap usaha diplomatik untuk memastikan mereka berjaya dibebaskan,” katanya.

Abe dan menterinya enggan mengulas sama ada Jepun akan membayar wang tebusan dituntut untuk dua tawanan terbabit, wartawan bebas Kenji Goto, 47, dan Haruna Yukawa, 42, yang juga pengasas syarikat keselamatan swasta.

IS menuntut bayaran AS$200 juta (RM723 juta) dalam video dimuat naik ke Internet, kelmarin, yang menunjukkan seorang militan memegang pisau berdiri di belakang Goto dan Yukawa yang sedang melutut.

Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga mengesahkan Jepun percaya rakaman dan ugutan itu sahih.

“Jepun bukannya mahu membunuh orang Islam seperti didakwa IS. Kami menggesa supaya dua rakyat kami itu tidak diapa-apakan dan dibebaskan segera,” katanya.

Abe tidak mempunyai banyak pilihan. Antaranya dia boleh membayar wang dituntut atau meminta sekutunya seperti Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan usaha menyelamat di Syria. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 5:10 AM