GOTO ketika membuat tugasan di Kobane, Syria pada 3 Oktober tahun lalu.
GOTO ketika membuat tugasan di Kobane, Syria pada 3 Oktober tahun lalu.
Agensi

Tokyo

Persahabatan sejati menjadi pengikat dua warga Jepun yang membawa mereka akhirnya menjadi tawanan militan Negara Islam (IS).

Dan kerajaan Jepun pula terjebak dengan tuntutan wang tebusan bernilai AS$200 juta (RM720 juta).

Haruna Yukawa mengunjungi Syria dengan harapan dapat mengubah hidupnya yang haru-biru kerana bankrap dan kematian isteri akibat kanser.

Dia pernah cuba membunuh diri sebelum mencuba nasib di Syria dengan harapan mendapat sebarang kontrak bagi memulakan hidup baru.

Dia akhirnya diculik di luar Aleppo pada Ogos tahun lalu

Kenji Goto - seorang wartawan perang - pula kembali ke Syria pada Oktober dengan matlamat membantu Yukawa.

Namun sejak itu nasib kedua-dua mereka tidak diketahui sehinggalah anggota IS muncul membuat tuntutan wang tebusan beberapa hari lalu.

Jika tidak, militan IS mengancam akan membunuh Yukawa dan Goto andainya wang yang dituntut tidak diperoleh minggu ini.

Yukawa menemui Goto kali pertama di Syria pada April tahun lalu dan meminta wartawan itu membawanya ke Iraq kerana ingin mengetahui mengenai konflik di sana.

Mereka dilaporkan pergi bersama pada dua bulan kemudian sebelum Yukawa kembali ke Syria bersendirian pada Julai.

Goto pula pulang ke Jepun.

Sebelum ini media melaporkan, penculikan Yukawa menghantui Goto menyebabkan lelaki berkenaan berasa perlu melakukan sesuatu untuk membantu sahabatnya itu.

“Saya mahu pergi ke sana sekurang-kurangnya sekali dan bertanya mengenai apa yang berlaku. Saya perlu bersemuka dengan mereka,” katanya.

Goto mula bekerja sebagai wartawan perang sepenuh masa pada 1996 dan terkenal dengan sikap bertanggungjawab dan berhati-hati melaksanakan tugas.

“Saya pernah melihat tempat yang mengerikan dan membahayakan hidup saya, tetapi entah bagaimana Tuhan selalu melindungi saya,” katanya.

Bagaimanapun, saya tidak akan mempertaruhkan apa yang boleh membahayakan diri sendiri.

“Jangan mencabar takdir,” katanya.

Dia kemudian membuat rancangan untuk pergi ke Syria dan memuat naik beberapa video pendek melalui akaun Twitter miliknya.

“Apa yang terjadi ialah tanggungjawab saya,” katanya dalam video dirakam sebelum dia memulakan perjalanan ke Raqqa, ‘ibu kota’ IS.

Peristiwa berkenaan menjadi kali terakhir kelibat Goto dilihat sebelum militan IS tampil membuat tuntutan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:06 AM